Langkau ke kandungan utama

Jumlah Paparan Halaman

Memahami Konsep Hibah

Hartanya ada satu sahaja. Sebuah rumah di kampung. Anaknya pula empat orang. Siapakah bakal mewarisi? Ada yang berkata, dia memilih semua anaknya mendapat rumah itu. Kongsi-kongsilah empat beradik, bila balik kampung ada rumah untuk menginap.

Namun, empat beradik itu bukan anak kecil lagi. Mereka sekarang sudah ada keluarga sendiri. Rumah yang dahulu menjadi tempat membesar kini tidak lagi selesa dihuni.

Anak mula jarang pulang kerana tidak ada yang mengambil tanggungjawab menjaga rumah itu.

‘Takkan saya sahaja yang nak jaga rumah. Rumah ini milik semua.’

Itu kata seorang anak yang sudah bosan kerana hanya dia yang mengeluarkan wang membaik pulih rumah tua. Hendak diduduki, ada yang membantah kerana ia disifatkan milik semua.

Kerosakan rumah semakin besar dan mereput. Ia ditinggalkan dan akhirnya rumah itu tidak dikunjungi lagi kerana masing-masing tidak mahu mengambil tanggungjawab. Ada yang mahu, tidak berani pula kerana ia rumah pusaka, di atas geran tercatat semua nama.

Inilah konflik yang sering berlaku, kerana ibu bapa mahu anak mereka berkongsi harta yang satu dan merapatkan hubungan. Namun inilah yang terjadi, adik-beradik bertelingkah dan berenggang kerana harta yang satu itu.

Lalu, bagaimana? Empat orang anak, hendak beri pada siapa? Rumah sebuah sahaja. Inilah sebabnya kita diberi pilihan hibah.

Pilihan hibah

Kini, ramai semakin tahu fungsi hibah dan berasakan ia penyelesaian terbaik. Namun, hibah itu sendiri mempunyai ilmu yang meluas. Belajar dan bergurulah untuk mengetahuinya lebih mendalam. Apabila ilmu tidak ada, kita akan membuat keputusan yang kelak membuatkan ramai insan teraniaya. Apabila sesuatu harta sudah dihibah ketika pemberi hidup, kita tidak berhak mempertikaikannya.

Peniaga dalam talian, Adha Mansor, 38, yang ditanya kefahamannya mengakui tahu hibah itu adalah hadiah.

“Setahu saya, hibah adalah hadiah untuk ahli keluarga atau mereka yang disayangi dan ia dilakukan ketika masih hidup,” katanya.

Adha mahu menggunakan hibah dalam pembahagian hartanya kelak kerana baginya ia antara cara terbaik mengelak pertelingkahan di kemudian hari.

“Juga ini peluang untuk memudahkan proses pembahagian harta apabila kita sudah mati kelak. Sebagai isteri dan ibu, saya memang akan memilih kaedah hibah ini. Jika ada lebih harta baru buat faraid,” katanya.

Zaidatul Akhmar, 49, juga memahami hibah adalah pemberian hadiah. Dia juga akan memilih hibah bagi pembahagian hartanya kelak.

“Faraid sesuatu yang sudah tetap dalam hukum tetapi saya akan pilih hibah. Ramai lagi yang tiada pendedahan mengenai hibah ini,” akui Zaidatul.

Raja Saliza Jaafar, 49, pula berkata tidak banyak yang diketahui mengenai hibah. Namun dalam pengetahuannya, dia nampak hibah lebih sesuai dengan dirinya.

Hibah makin dikenali dan semakin ramai yang mahu menggunakannya. Keadaan ini membuatkan ramai yang tertanya-tanya, adakah hibah jalan terbaik dan lebih elok berbanding faraid? Ada juga yang ragu-ragu. Sekali lagi, bertanyalah kepada mereka yang arif mengenai hukum-hakam hibah.

Buatlah kontrak hibah

Tidak dinafikan, bukan semua orang perlukan hibah. Ada yang berasakan hartanya lebih selamat dan adil menggunakan hukum faraid. Dia mahu semua waris mendapat secara adil. Ada yang tidak peduli kerana memikirkan selepas mati, hartanya adalah urusan masalah waris. Ada juga risau akan melukakan hati warisnya sekiranya dia berhasrat untuk hibah. Semua itu adalah pilihan masing-masing.

Namun, ada keperluan mendesak terhadap hibah contohnya orang yang tiada anak, mereka yang hanya ada anak perempuan, si bujang sebatang kara, yang mempunyai anak angkat dan banyak lagi kes lain.

Bolehkah sekiranya kita mahu menghibahkan semua harta kita?

Boleh! Ini jawapan Pensyarah Syariah di Aqrab al Istiqomah, Melaka Ustaz Khairul Che Salleh. Hibah sesuatu yang murni dan besar pahalanya. Hibah boleh diberikan tanpa had. Sebanyak mana pun boleh. Ia adalah hak pemberi.

“Perlu diingat, hibah adalah perkara yang berbeza dengan faraid. Ia tidak ada kena- mengena langsung dengan faraid. Ini kena jelas. Faraid adalah mekanisme menguruskan harta si mati supaya ia diuruskan dengan adil dan diberikan kepada yang berhak.

“Hibah pula hak seseorang yang hidup untuk mencapai keredaan Allah. Banyak dalil mengenai hibah, antaranya surah ali-Imran ayat 133 dan 134. Daripada perspektif muamalah, ini adalah dorongan untuk manusia membuat kebaikan,” jelasnya.

Menurut Ustaz Khairul, hibah adalah perbuatan yang lebih mulia daripada memberi hadiah. Hibah dan hadiah, dalam masyarakat Arab adalah berbeza. Dorongan memberi ini memang disuruh Allah dan tiada kena-mengena dengan faraid.

“Jangan salah faham dengan isu hibah contohnya dakwaan hibah ini tidak kuat berbanding faraid atau walaupun sudah hibah, faraid akan diguna pakai juga.

“Keadaan ini berlaku mungkin kerana hibah yang dilakukan di Malaysia dalam keadaan tidak mempunyai akta yang cukup kuat. Maka ia disepadankan mengikut kehendak konvensional. Sepatutnya umat Islam memahami ilmu ini dan mendalami soal hibah. Kenapa pula faraid tetap diguna pakai jika harta sudah dihibah? Ia sepatutnya tidak berlaku. Hibah yang dibuat ketika hidup, tidak kena-mengena dengan faraid lagi.

“Ada empat rukun hibah, pertama ialah pemberi, kedua penerima, ketiga harta yang hendak dihibah dan keempat ijab kabul. Rukun keempat ini sangat penting kerana ia bermaksud kontrak. Kontrak ini berdasarkan surah al-Baqarah ayat 282. Ia keperluan penting sebagai rujukan dalam hitam putih. Buatlah surat secara bertulis dan sahkannya.

Bolehkah mencabar hibah?

“Mengapakah mahu mencabar hibah sedangkan ia sudah jelas dan ada bukti hitam putih? Sekiranya ada penipuan, orang yang menipu itulah yang menanggung dosanya. Selagi penerima mempunyai bukti hitam putih yang sah, kita kenalah terima,” katanya.

Walaupun ada ketikanya berlaku hibah secara mulut sebagai contoh, suami memberitahu isterinya dia mahu menghibahkan rumahnya kepada si isteri, ia sebenarnya sudah sah. Jadi tidak perlu pertikai lagi.

“Saya terkenangkan ramai ibu tunggal yang kematian suami akhirnya hidup dalam keadaan sengsara sebab tidak tahu hak mereka dalam faraid. Paling utama, mereka tidak tahu boleh menerima hibah sebelum berlaku kematian. Mereka pula disuruh meninggalkan rumah walhal suami pernah beritahu, rumah itu diberi kepadanya.

“Ingatlah, hibah perlu dilakukan sewaktu hidup. Apa yang dibuat selepas kematian memanglah tidak boleh menjadi hibah kerana selepas kematian, semua harta menjadi harta pusaka dan ia tertakluk kepada faraid. Hibah diberi daripada seorang yang hidup, sedar dan berakal sihat kepada seorang yang sihat, sedar dan berakal juga. Ia sudah sah. Orang lain tidak boleh lawan sebab ia hibah dan berlaku ketika pemberi hidup,” katanya.

Ini bermaksud, apabila harta sudah dihibah secara sah, tetapi jika ada yang mahu merampasnya maka mereka yang terbabit itu melakukan dosa.

Makna hibah

Hibah ialah pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris.

Perlu diingat, kesan daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.

Semua orang wajar mempelajari hukum faraid dan hibah dengan mendalam secara berguru dan dapatkan nasihat daripada mereka yang bertauliah serta tidak menggunakan perkara ini untuk mencari keuntungan.

Hibah ada dua jenis iaitu:

  1. Hibah mutlak
  2. Hibah bersyarat (umra dan ruqba)

Di bawah hibah mutlak, ia berkuat kuasa serta-merta. Sekiranya penukaran hak milik sudah dibuat, ia terus menjadi hak si penerima. Penerima berhak membuat apa saja dengan haknya termasuk menjualnya. Dari sudut faraid pula, sekiranya penerima meninggal dunia, ia menjadi harta pusaka penerima.

Hibah bersyarat pula penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama.

“Boleh menggunakan hibah bersyarat. Sekali lagi, kita buatlah surat hitam putih sebagai bukti. Saksi adalah pilihan. Dalam surat hitam putih itu ditulis, hibah ini berkuatkuasa sebaik pemberinya meninggal dunia dan sekiranya penerima yang dipilih itu mati dahulu, ia kembali kepada pemberi supaya boleh diberikan kepada penerima baru. Jadi tidak wujud kerisauan sekiranya penerima mati dahulu daripada pemberi dengan menggunakan hibah bersyarat ini,” kata Ustaz Khairul.

 

Oleh Kusyi Hirdan dari MyMetro.

Ulasan

  1. Balasan
    1. sedang membaca pasal hibah, jadi dimasukkan dalam interpretZZ supaya boleh dirujuk kembali.

      Padam

Catat Ulasan

Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.

Kiriman Berkaitan