Malam ni Tedi mendobi layan diri lagi. Jika tangkap gambar diri sendiri dipanggil swafoto, maka dobi layan diri mungkin boleh disebut swadobi? Atau kita bagi istilah baru untuk layan diri?

Salah satu masalah dobi layan diri di Bandar Baru Salak Tinggi ini ialah nak membandingkan harga di antara bisnes dobi layan diri di Bandar Baru Salak Tinggi yang bercambah seperti cendawan lepas hujan.Tedi pernah menemuramah dua orang pengusaha atau usahawan bisnes dobi layan diri dan mereka kata modal buka kedai dobi layan diri ialah 100 ribu sehingga 300 ribu. Modal itu sebahagian besarnya diperuntukkan untuk mendapatkan atau beli mesin dobi layan diri.

Selain itu Tedi memerlukan mesin basuh yang besar minimum 15 kilogram sebab Tedi nak basuh toto, cadar, atau permaidani kapas.

Jadi mulai malam ini mungkin Tedi akan catat harga yang ditawarkan oleh setiap kedai dobi layan diri yang Tedi singgah.

gambar harga dobi layan diri

Laundrybar, Taman Seroja

 

  1. Menggunakan token RM 1. Tedi tak menggemari sistem token sebab ia memaksa kita menggunakan perkhidmatan mereka selalu dek kerana token mereka hanya laku di kedai mereka sahaja.
  2. Di Laundrybar Bandar Baru Salak Tinggi ni ada mesin basuh 10 kg 2 buah, 15 kg 4 buah, dan 28 kg 1 buah.
  3. Pembekal mesin basuh dobi layan diri Laundrybar gunakan mesin basuh Lavamac.
  4. Mesin pengering 14 kg sebanyak 8 buah.
  5. Harga cucian sejuk: MYR 4 untuk 10 kg, MYR 6 untuk 15 kg, dan MYR 11 untuk 28 kg.
  6. Harga cucian suam: MYR 5 (10 kg), MYR 7 (15 kg), dan MYR 13 (28 kg).
  7. Harga cucian panas: MYR 6 (10 kg), MYR 8 (15 kg), MYR 15 (28 kg).
  8. Harga pengering ialah MYR 4 untuk 24 minit. Tambahan MYR 1 untuk tambahan masa 6 minit.
  9. Sabun dan pelembut diberikan percuma dan dimasukkan secara automatik ke dalam mesin basuh. Laundrybar mendakwa sabun dan pelembut mereka adalah halal.
  10. Tedi menggunakan mesin basuh 15 kg dengan masa cucian 26 minit. Apa yang Tedi tak gemar adalah nampak kurang air dimasukkan sewaktu cucian dijalankan. Buih sabun pun tidak kelihatan. Tapi bilangan mesin basuh 15 kg yang banyak agak menjadi kontra kepada keadaan ini. Seorang pelanggan yang Tedi temuramah mendakwa bilangan air akan berubah ikut fasa cucian. Tedi menerimanya dengan agak was was.