KUALA LUMPUR - Sebuah sistem carian bersepadu yang membolehkan orang ramai menyemak daftar hak milik hartanah, kebangkrapan dan status syarikat secara dalam talian telah dibangunkan di portal e-Tanah.

gambar gadis berbaju merah - komputer HP - portal e-tanah - Jabatan Insolvensi Malaysia
Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Noor Azlin Kasim menunjukkan cara menggunakan perkhidmatan ‘Single Window Search’(SWS) sistem carian bersepadu di portal awam e-tanah di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sistem itu dibangunkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bagi memudah dan menjimatkan masa pemohon untuk menyelesaikan urusan hartanah.

"Prosedur sebelum ini memerlukan pemohon hadir ke mana-mana jabatan yang terlibat hanya untuk menyemak hak milik, status kebangkrapan dan syarikat secara carian berasingan.

Sistem carian bersepadu ini membolehkan pemohon menyemak ketiga-tiga carian tersebut melalui portal dalam talian e-Tanah, sekali gus mengurangkan prosedur bagi pendaftaran hak milik hartanah daripada lapan prosedur sebelum ini kepada lima prosedur sahaja," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan sistem carian bersepadu itu di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, sistem yang telah digunakan bermula 15 Mac lepas itu hanya melibatkan urusan hartanah di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai projek perintis sebelum diperluas ke negeri lain secara berperingkat.

"Kita menjangkakan sistem ini akan diguna sepenuhnya oleh semua negeri menjelang 2025 kerana ketika ini kita sedang berusaha mendapatkan perkongsian data daripada institusi terlibat iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia," katanya. - Bernama