LIVERPOOL – Ketajaman jentera serangan Liverpool bakal teruji selepas bekas pengurus mereka, Rafa Benitez kembali ke Anfield bersama Newcastle untuk beraksi pada saingan Liga Perdana England awal pagi esok.

gambar pemain Liverpool - Emre Can sedang memanaskan badan di padang
CAN (kiri) mengakui Liverpool kini berada pada prestasi terbaik, namun perlu berwaspada dengan ancaman Newcastle yang dibimbing oleh Benitez.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp mendapat suntikan semangat selepas berjaya menduduki tangga kedua liga ketika menewaskan West Ham United 4-1 Sabtu lalu.

Namun, mereka gagal mengekalkan kedudukan tersebut selepas pencabar terdekat, Manchester United mengambil alih kedudukan tersebut sebaik menewaskan Chelsea 2-1 di Old Trafford.

Sejak di bawah kendalian Klopp musim ini, Liverpool telah mempamerkan persembahan memberangsangkan apabila menjaringkan 103 gol sepanjang 40 perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Daripada jumlah jaringan tersebut, 66 gol dihasilkan oleh trio berbisa The Reds iaitu Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Namun, Liverpool menyedari bahawa Benitez memiliki keupayaan melakarkan kejutan dan pemain tengah The Reds , Emre Can berharap dapat mengelak kekalahan selain mahu meneruskan rentak cemerlang mereka.

“Ia menjadi satu aksi cukup sengit buat semua pemain dan saya fikir semua orang berharap untuk bermain dalam perlawanan menentang Newcastle."

“Saya fikir kami perlu memiliki rentak yang sempurna sehingga akhir musim ini. Kami menduduki tangga ketiga Liga Perdana England, kami masih bersaing di Liga Juara-Juara dan kami berada di landasan terbaik."

“Setiap perlawanan itu umpama final. Kami harus fokus satu demi satu perlawanan dan aksi Sabtu ini (hari ini) akan menjadi perlawanan cukup sukar menentang Newcastle,” katanya. – AFP