gambar keratan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian yang melaporkan berita pelantikan Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor

 

Gambar di atas adalah gambar keratan akhbar hari ini yang mengulas mengenai cerita pelantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Negeri Selagor yang baru. Gambar ni Tedi terjumpa semasa membersihkan arkib gambar di awan nano... hehe..

Azmin Ali menggantikan Menteri Besar Selangor sebelum itu, Khalid Ibrahim.

Gambar di atas menunjukkan Utusan Malaysia mengulas cerita itu dengan tajuk, "Azmin kritik Khalid".

Manakala gambar yang sama turut memaparkan akhbar Sinar Harian melaporkan berita pelantikan Azmin Ali itu dengan tajuk berita, "Azmin puji Khalid".

Mana satukah tajuk yang benar? Tedi memang susah nak percaya tajuk akhbar kerana mereka suka puter belit tajuk berita mereka supaya menarik minat orang untuk membacanya.

Mereka lebih suka menggunakan tajuk yang sama membodek atau sebaliknya, menggunakan provokasi untuk melariskan jualan.

Mungkin tajuk berita mereka sahaja yang gah tapi sebenarnya tiada isi apa pun.

Selain itu gambar ini juga membenarkan bidalan orang luar yang menyatakan, "hanya juara yang menulis sejarah" - iaitu sampai tahap sejarah pun mereka tak mahu nak percaya sebab selalunya sejarah ini ditulis dan dipadam oleh mereka yang berkuasa. Mereka akan mendedangkan berita yang disukai mereka, dan memadamkan apa yang mereka tidak suka.

Apa-apa pun sebagai muslimin dan muslimat kita telah diajar agar jangan mempercayai sesuatu berita tanpa mengkajinya terlebih dahulu. Mungkin sahaja jalan terbaik adalah dengan membaca kedua-dua akhbar supaya kita mengetahui apa yang hendak disampaikan oleh kedua-dua belah pihak.

Orang tua-tua pernah berkata, "jika nak tahu kebaikan seseorang, tanya kawannya. Jika nak tahu keburukan seseorang, tanya musuhnya.", nasihat yang mungkin tidak tepat jika ada situasi kawan makan kawan, atau ada pula musuh yang berfikiran terbuka.

 Jika pada zaman dahulu, propaganda disebarkan melalui flyer (penerbang?) iaitu kertas bercetak yang dijatuhkan melalui kapal terbang ke kawasan sasaran, akhbar dan juga radio. Pada masa sekarang tentunya propaganda akan lebih meluas melalui penggunaan teknologi internet.

Namun zaman berita propaganda ni mungkin sudah berakhir, sebab itu orang ramai lebih suka berita melalui whatsapp sebab ada orang yang akan memberi komen jika berita itu tidak benar, dan mengiyakan jika berita itu benar. Orang mahukan berita yang jujur, sesuai dengan fungsinya akhbar untuk sampaikan khabar.

Hanya mereka yang berfikiran terbuka sahaja mampu menerima apa sahaja jenis berita, tetapi sebagai manusia tentulah kita takkan dapat lari daripada bias terhadap satu-satu pihak. Apa yang penting hormati pendapat orang lain dan jangan bertengkar atas apa yang sia-sia. Lagipun kita rakyat marhaen sesama sendiri bertekak mempertahankan pemimpin, apa kita dapat? Menang sorak, kampung tergadai.

Gunakan kuasa rakyat supaya mereka sedar kuasa mereka hanya sementara. Tidak kisahlah siapa mereka, jika mereka tak memudahkan rakyat, pecat sahaja.

Sudah semakin jauh Tedi melalut, benarlah kata orang, satu gambar seribu cerita.

 

Azmin Kritik Khalid Pecat Anwar

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Mohamed Azmin Ali mula menunjukkan belang pada hari pertama beliau menjadi Menteri Besar Selangor dengan mengkritik tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Penasihat Ekonomi Selangor.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pemecatan itu menimbulkan persoalan memandangkan ia dilakukan pada hari terakhir Abdul Khalid menerajui pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Sudah tentu ini menimbulkan persoalan mengapa pemecatan ini berlaku pada hari terakhir pentadbiran Abdul Khalid.

"Anwar telah memegang jawatan tersebut sejak enam tahun lalu, tiada isu apa pun. Mengapa beliau disingkirkan?" katanya dalam sidang akhbar di kediaman ibunya, Che Tom Yahya di Kampung Klang Gate Baru, dekat sini hari ini.

Azmin mengadakan kenduri kesyukuran di kediaman ibunya sempena pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor, Faekah Husin dalam kenyataan malam tadi mengumumkan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkuat kuasa serta-merta bagi menjimatkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

Jelas Faekah, pelbagai fitnah dan kontroversi ditimbulkan antara lain tentang gaji yang diterima oleh Anwar serta peranan dan sama ada sumbangan beliau kepada kerajaan negeri Selangor sesuai dengan jawatan yang disandang.

Sementara itu, di KLANG, ketika ditanya pemberita mengenai kedudukan barisan Exco baharu di bawah pentadbirannya, Azmin menjelaskan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan PKR, DAP dan Pas pada petang ini mengenai komposisi jawatan itu mengikut parti-parti dalam pakatan pembangkang.

Katanya, beliau yakin keputusan penetapan barisan Exco kerajaan negeri yang baharu dijangka dapat dicapai sebelum istiadat mengangkat sumpah yang dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah di sini pada Jumaat ini.

Pada masa sama, Azmin turut menyatakan bahawa tiada jawatan Timbalan Menteri Besar akan diwujudkan di bawah pentadbirannya sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

"Setakat ini perkara itu (jawatan Timbalan Menteri Besar) tidak berbangkit," ujarnya.

 

 

Azmin Puji Abdul Khalid

KLANG - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memuji gerak kerja bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beliau berjanji untuk meneruskan dasar peduli rakyat seperti amalan sebelum ini.

“Saya terlibat secara langsung ketika pentadbiran Abdul Khalid dan beliau telah letakkan asas yang baik dalam mentadbir sebuah kerajaan negeri.

“Sudah tentulah menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan dasar-dasar demi rakyat yang memberikan penekanan kepada soal pentadbiran yang adil dan memastikan kerajaan negeri ini benar-benar bersih, bertanggungjawab menjaga rakyat Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin dalam sidang media pertamanya selepas Majlis Angkat Sumpah jawatan Menteri Besar berkata, beliau akan mencorakkan pentadbiran negeri dengan melaksanakan konsep Negeri Pembangunan yang berlandaskan amalan tata kelola yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan menjamin pengagihan kekayaan secara adil kepada rakyat.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut menafikan akan wujudnya jawatan timbalan menteri besar.

“Tidak... setakat ini perkara itu tidak berbangkit,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung kelangsungan Perjanjian Utama Air, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak maklum perincian kandungan perjanjian.

“Perjanjian air kita tak tahu kandungan. Bagaimanapun kita akan adakan perbincangan dengan pihak berkuasa dan Setiausaha Kerajaan Negeri berikan taklimat terperinci untuk lihat semua perjanjian air.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan pentadbiran kerajaan negeri akan berpandukan Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, bukannya dikawal oleh mana-mana pihak.

“Saya tidak dikawal parti mahupun mana-mana pihak,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung penyertaan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selaku Exco, Mohamed Azmin berkata, penyertaan Wan Azizah dalam barisan Exco dibincangkan petang semalam.

“Kita akan mengadakan perbincangan pada petang ini (semalam) untuk melihat komposisi Exco PR dan Tuanku menitahkan supaya perkara ini dapat diselesaikan segera, " katanya.

20180322