Baby Aina Keluar Hospital

24-September-2017 : Aina ditahan di Wad 2C

Mungkin kawan-kawan semua tidak mengetahui bahawa baby Nor Aina telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada hari Ahad, 24-September-2017 yang lalu pada jam lebih kurang 8:30 pagi setelah bayi Nor Aina kami bawa ke Wad Kecemasan Hospital Putrajaya beberapa jam sebelum itu.

Bayi Aina telah diberikan neb sebanyak 4 kali ketika di Wad Kecemasan Hospital Putrajaya tersebut, dan akhirnya setelah diperiksa oleh doktor pakar paedatrik, Aina diarahkan untuk ditahan di Wad Paedatrik atau Wad 2C.

Setelah Master membayar deposit RM 100, bayi Aina dibawa ke Wad Paedatrik 2C.

Gambar bayi Aina semasa menerima rawatan di Hospital Putrajaya

Sejak itu bayi Aina telah menerima rawatan di Wad 2C Paedatrik sebagai suspek bronchillitis atau pneunomia kalau Tedi tak silap eja nama. Kedua-dua penyakit ini adalah berkaitan dengan jangkitan virus pada paru-paru.

Bronchillitis adalah radang pada saluran pernafasan yang lebih kecil pada paru-paru manakala pneunomia adalah jangkitan virus pada bahagian saluran pernafasan yang lebih besar. Bronchillitis boleh menjadi punca kepada pneunomia jika tidak dirawat dengan segera. Pneunomia adalah lebih berbahaya kepada bayi dan juga orang tua.

Aina diberi neb iaitu rawatan menggunakan gas sekali dalam dua jam sambil dipasangkan saluran oksigen. Nor Aina juga dimasukkan air kerana dia mengalami kekurangan air kerana kurang minum susu.

Master meninggalkan Mommy dengan Aina kerana hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan menemani pesakit.

Pindah Bilik Jam 10 Malam

Pada jam 10 malam lebih kurang, bayi Aina disuruh berpindah ke bilik lain setelah disahkan doktor bahawa Aina hanya menghidap bronchollitis dan bukannya pneunomia. Kali ini baby Aina mendapat bilik 4 katil yang telah disumbat dengan 6 katil.

Walaubagaimanapun suasana dalam bilik tersebut masih selesa kepada para pesakit dan penjaga.

25-September-2017 : Aina demam sekali sekala

Sesekali suhu badan baby Aina mencecah 38 darjah Celcius. Dia diberi ubat demam melalui bontot, dan badannya juga dilap dengan air.

Doktor pakar menyatakan bahawa masih ada banyak kahak di saluran pernafasannya tetapi bukanlah di bahagian paru-paru.

26-September-2017 : Tok Ma dan Tok Abah tiba dari Kelantan

Tok Ma dan Tok Abah tiba di Dataran Nilai pada jam 7 pagi dari Kelantan dengan menaiki bas Ekspress Mutiara.

Master telah menunggu sejak jam 6 pagi kerana bas Ekspress Mutiara tersebut dijangka akan sampai ke Nilai pada jam 5.30 pagi. Ketika Master berada di Dataran Nilai, bas tersebut masih berada di Kajang. Master mengambil peluang tersebut untuk melelapkan mata setelah berjaga sepanjang malam mengemas rumah.

Master memutuskan untuk mengambil cuti separuh hari kerana telah kelewatan, tambahan pula Master tak yakin Tok Abah akan mampu mencari jalan dari Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang ke Hospital Putrajaya. Maklum sahajalah penuh flyover di sepanjang perjalanan ke sana, diburukkan lagi dengan sistem papan tanda yang tidak sistematik dan tak dikemaskini dari dulu sampai sekarang.

Kami bergerak ke Hospital Putrajaya sekitar jam 10 pagi dan meletakkan kereta di tempat letak kereta di Institut Kanser Negara yang terletak bersebelahan. Tedi tak faham kenapa hospital di Malaysia sering mengalami masalah parking kecuali bagi hospital lama yang menambah bangunan baru.

Kenapa tidak hospital baru seperti Hospital Putrajaya dibina bersama bangunan parking yang mencukupi?

Master meninggalkan kami untuk bekerja pada jam 12 tengahari.

Tok Ma menggantikan Mommy untuk menjaga bayi Nor Aina sementara Mommy pula balik ke rumah. Pada petangnya bayi Aina dibenarkan keluar di mana urusan pembayaran bil selesai sekitar jam 6 petang.

Ulasan