Malang betul nasib Master, dia kena sound dengan bos sebab dia release skrip yang belum diuji untuk kegunaan penguji di luar. Melompat bos-bos di atas apabila ada beberapa isu dilaporkan semasa persediaan mesin ujian tersebut.

Master bukan nak release sangat pun skrip tersebut tapi memandangkan pasukan penguji nak cepat untuk uji mesin tersebut, Master melepaskannya juga. Tambahan pula Master memikirkan pasukan penguji ada pasukan penyokong yang akan membantu jika ada masalah. Itulah yang berlaku, masalah timbul dan pasukan sokongan menjalankan kerja mereka dengan baik.

Master meneruskan kerjanya dengan skrip automasi yang belum siap, diuji dan diuji beberapa kali, walaupun ditekan untuk diterbitkan. Sehingga kini dia masih belum sedia melepaskan skrip tersebut tetapi seperti biasa pasukan pengurusan mendesak untuk melepaskannya.

Dalam pengalaman kerja, apabila semuanya berjalan lancar, tiada siapa pernah peduli, memandang semuanya enteng. Tapi apabila ada isu yang sebenarnya ada jalan penyelesaiannya, mereka melompat dan membuat bising.

Apa mereka fikir Master nak sangat isu tersebut muncul?

Mamai

Tertidur Master memikirkan isu yang timbul dan jalan penyelesaian yang boleh beliau usahakan. Tampak tiada apa boleh dilakukan sehinggalah beliau berada di meja kerjanya esok hari. Esok mungkin akan muncul lebih banyak isu sebab skrip automasi beliau yang separuh masak telah dilepaskan pada malam tadi.

Tiba-tiba sahaja Master terjaga di ruang tamu, dengan suara Mommy marah-marah sebab Master tak naik-naik bawa susu bayi Aina yang diminta disediakan. Termangu sekejap Master, tiada dalam ingatan beliau apa yang beliau buat di bawah, atau pernah tidur di tingkat atas?

Betulkah beliau turun ke bawah untuk bancuh susu dan kemudian sambung tidur di bawah? Langsung tiada dalam memori. Adakah ini disebabkan oleh trauma kena sound dengan bos? Adakah berlaku halangan minda sehingga Master tak ingat apa yang perlu dilakukan?

Samalah nasib macam di pejabat, selama ni bangun bancuh susu tiada masalah, dan sekali Master tersambung tidur di bawah, kenalah pula dengan Mommy. Tapi memang patut pun kena marah kalau diminta bancuh susu tapi kemudian sambung tidur, nampak sangat mementingkan diri. Mamai atau tidak, itu orang tak mahu tahu.

 

Kedua-dua hal ini mengingatkan Master bahawa manusia di muka bumi ni tak fokus kepada kebaikan yang kita lakukan, tapi berguruh apabila kesilapan dilakukan.

 

Allah melihat usaha seseorang, tapi manusia sentiasa akan menilai hasilnya sahaja. Berusahalah sebanyak mana tapi jika hasilnya gagal kamu akan dicap gagal.