Towerthon Menara KL 2017

Hari Ahad, 14 Mei 2017 yang lalu Mommy dan Master telah memanjat 2058 anak tangga Menara KL melalui event Towerthon 2017.

Ini adalah kali kedua mereka sertai perlumbaan panjat tangga tersebut setelah pertama kali menyertainya pada tahun 2016.

Jika pada tahun lepas kami menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kali ini kami bergerak dari rumah sekitar jam 4.00 pagi dan sampai di Menara KL sekitar jam 5.00 pagi.

Terima kasih kepada Mak Lang dan Pak Lang dan Adam Irfan yang sudi menginap di rumah kami demi menjaga Aina yang kami tinggalkan. Tak sanggup bawa Aina bersama ke sana dan tak sanggup pula bawa dia menginap di hotel.

Sampai sahaja di tapak mula perlumbaan, kumpulan Master iaitu Wave 5 telah dipanggil. Waktu itu mungkin jam 5.30 di mana waktu Subuh belum masuk.

Master dan seorang rakannya yang pertama kali menyertai Menara KL International Towerthon memulakan pendakian. Perlumbaan dimulakan dengan para peserta dilepaskan 5 orang setiap 30 saat, berbeza dengan tahun lepas di mana 200 peserta dalam 1 wave dilepaskan sekaligus.

Peserta perlu berlari mendaki bukit dalam 600 meter pertama. Master berhenti 4 kali kerana kesemputan, berbeza dengan tahun lepas di mana Master memecut laju. Kemudian mereka memanjat escalator setinggi dua tingkat sebelum sampai ke anak tangga pertama.

Tahun ini Master hanya berjalan memanjat tangga berbanding melompat melangkaui satu anak tangga pada Towerthon 2016.

Strategi Master pada tahun ini adalah panjat dengan perlahan dan konsisten, elakkan berhenti di water station selepas ambil minuman dan hanya berhenti selepas panjat sekurang-kurangnya dua tingkat.

Selain itu Master tidak berhenti ambil gambar, tolong ambil gambar orang lain, dan juga tidak swafoto.

Master dan Mommy juga memakai sarung tangan untuk ke kebun sekaligus memudahkan mereka memegang pemegang tangga lalu membantu mereka kurangkan kelenguhan di kaki terutamanya di bahagian paha. Kalau tak pakai sarung tangan memang tiada maknanya nak pegang pemegang tangga yang dipenuhi peluh melekit-lekit tu.

Strategi Master itu berjaya membantu beliau memecah rekod peribadinya pada tahun lepas iaitu 45 minit yang dibaharui oleh rekod 37 minit.

Trafik program Towerthon pada tahun ini agak lancar di mana Master hanya tunggu 20 minit untuk menaiki lift turun ke bawah untuk tunaikan solat Subuh.

Program dihentikan seketika pada waktu Subuh dan selepas Subuh barulah kumpulan B dilepaskan.

Mommy dan Wave D pula dilepaskan pada sekitar jam 7.30 pagi. Mommy turun pada jam 8.45 setelah berjaya menghabiskan panjatan tangga dalam masa 45 minit.

Selepas habis sesi Towerthon tahun ini, kami bergerak mencari makan di Nasi Lemak Tan Ling.

Ulasan