Gambar keratan akhbar hargai perpaduan dalam pelbagai kaum
gambar keratan akhbar bertajuk "Hargai perpaduan dalam pelbagai kaum"

REMBAU, 3 Ogos 2015 – Rakyat negara ini perlu menghargai perpaduan dalam kepelbagaian kaum yang sedang dinikmati sekaligus menjadikannya sebagai asas pembinaan negara bangsa bagi kelangsungan ge­nerasi akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perpaduan tersebut perlu dihargai menerusi sambutan hari-hari kebesaran agama yang disambut dengan meriah dalam suasana harmoni.

“Inilah uniknya Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, sama-sama duduk dalam satu negara. Di samping itu, bulan ini pula kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-59 tahun.“

"Marilah sama-sama kita berdoa dan memanjatkan kesyukuran kepada tuhan kerana kita lahir di bumi bertuah, dapat duduk dalam keadaan aman damai dan harmoni dengan kepelbagaian kaum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri di Dataran Rembau dekat sini, malam tadi yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Jelas Mohamad, aset berharga yang dimiliki negara ini bukan sahaja menghairankan, bahkan dicemburui masyarakat luar negara yang mahu mengetahui resepi kejayaan membentuk perpaduan tersebut.

“Budaya hormat-menghormati perlu diteruskan agar dapat kita hamparkan kepada generasi akan datang bagi membolehkan mereka menikmati perkara yang lebih baik dari sekarang.“

"Jangan kita terpesona dengan nyanyian pihak berkepentingan yang bertujuan untuk memusnahkan negara kerana memang ada agenda untuk melihat negara ini musnah,” tegasnya.

Justeru, kata beliau, usaha memupuk perpaduan perlu bemula daripada sekarang bagi membo­lehkan masyarakat di negara ini hidup dengan lebih aman dan harmoni dalam satu negara merdeka.

~ sumber: Utusan

Kiriman lain yang berkaitan:

  1. Perpaduan kaum elak tragedi

20150803