JABATAN Insolvensi Malaysia (MdI) sentiasa bersedia membantu mereka yang diisytiharkan muflis untuk keluar daripada kebankrapan.

Tanggapan bahawa muflis adalah penghujung hidup perlu diperbetulkan, sebaliknya harus dilihat sebagai pelindung dengan individu terbabit bekerjasama dengan MdI selaku pentadbir bagi melakukan penstrukturan semula hutang.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kebankrapan ikuti temu bual bersama Pengarah Insolvensi negeri Perak, Hezlin Haldi bersama wartawan Sinar Harian, Ismaniza Ahmad di Pejabat Jabatan Insolvensi negeri Perak, Ipoh, baru-baru ini.

Kebanyakan mereka yang dibankrapkan takut untuk tampil ke Jabatan Insolvensi, malah banyak persepsi mengatakan Jabatan Insolvensi yang memberi status muflis kepada seseorang. Benarkah begitu?

Peranan Jabatan Insolvensi adalah mentadbir kes-kes kebankrapan, bukannya memberikan status muflis. Pihak kami hanya menjalankan tindakan selepas mahkamah mengeluarkan perintah muflis terhadap seseorang yang mana dari segi undang-undang Ketua Pengarah Insolvensi menjadi pentadbir kepada asetnya seterusnya memantau dan menyelia kelakuan individu yang diisytiharkan bankrap.

Bagaimana seseorang itu boleh dibankrapkan?

Mereka boleh dibankrapkan apabila pemiutang membuat permohonan ke Mahkamah Tinggi kerana penghutang gagal menjelaskan hutang sama ada satu atau lebih pemiutang bagi jumlah hutang sebanyak RM30,000 atau permohonan itu dibuat secara sukarela oleh penghutang (individu itu sendiri) apabila dia tidak mampu membayar hutang.

Berapakah jumlah yang membolehkan seseorang itu boleh dibankrapkan?

Bagi Petisyen Pemiutang, had hutang mengikut penghakiman mestilah RM30,000 ke atas manakala bagi permohonan sendiri tiada had hutang.

Apakah halangan serta kesan dari status kebankrapan?

Apabila individu dibankrapkan, banyak halangan termasuk tidak boleh memegang jawatan dalam beberapa badan berkanun, organisasi, jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan, menjadi penasihat atau pekerja sesuatu pertubuhan berdaftar. Mereka juga tidak layak dilantik sebagai hakim mahkamah sesyen atau majistret, tidak boleh menjadi Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Ahli Parlimen termasuk menjadi Adun. Dari segi kesan pula, aset dan harta bankrap akan dibahagikan bagi faedah pemiutang selain individu itu tidak layak menjadi Pengarah Syarikat tanpa kebenaran mahkamah terlebih dahulu. Menjadi satu kesalahan sekiranya orang yang muflis memperoleh pinjaman sebanyak RM1,000 atau lebih dan mereka juga tidak boleh mengambil tindakan undang-undang di mahkamah serta tidak boleh keluar negara. Selain itu, mereka tidak boleh terlibat dalam perniagaan dan semua akaun akan dibekukan bagaimanapun hanya satu akaun sahaja dibenarkan untuk diaktifkan bagi tujuan kemasukan gaji bulanan.

Apakah peranan atau tanggungjawab Jabatan Insolvensi Malaysia apabila seseorang individu telah dibankrapkan?

Jabatan Insolvensi berperanan sebagai pentadbir hal ehwal kebankrapan individu terlibat dengan menghasilkan aset bankrap lebih cepat dan berkesan untuk agihan kepada pemiutang. Pihak kami juga bertindak menjalankan penyiasatan ke atas tingkah laku bankrap semasa dalam kebankrapan selain membantu individu yang bankrap mendapatkan pelepasan daripada kebankrapan.

Apakah tindakan pertama yang perlu dibuat oleh seseorang individu apabila mengetahui dirinya seorang bankrap?

 Mereka yang terlibat perlu hadir ke cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes beliau dengan membawa maklumat berkaitan tanggungan, liabiliti dan aset. Yang penting jangan takut untuk datang kepada kami supaya apa yang membelenggu individu yang bankrap dapat diselesaikan secepat mungkin.

Adakah benar tanggapan yang menyatakan apabila telah bankrap, hutang tidak perlu dibayar?

Persepsi itu salah sama sekali. Apabila seseorang itu bankrap hutang tetap perlu dibayar. Bayaran akan dibuat secara ansuran bulanan selain pihak Jabatan Insolvensi akan membantu membahagikan faedah kepada semua pemiutang melalui aset milik penghutang.

Seperti yang dimaklum tadi, seseorang yang bankrap tidak boleh keluar negara. Bagaimana jika seseorang terpaksa keluar negara contohnya untuk menunaikan haji?

 Mereka boleh ke luar negara dengan syarat individu itu memberi kerjasama dengan pihak MdI dan atas budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi namun dikenakan syarat-syarat tertentu. Tiga tujuan yang dibenarkan adalah bekerja, perubatan dan keagamaan.

Bagaimana cara untuk keluar dari status kebankrapan?

Status kebankrapan dapat ditamatkan melalui tiga cara dan antaranya mereka yang berhutang membuat permohonan pelepasan ke mahkamah menyatakan hutang telah dijelaskan berserta laporan Jabatan Insolvensi yang menyatakan kelakuan dan kerjasama penghutang kepada jabatan. Status muflis juga boleh ditamatkan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi yang boleh dipohon selepas pentadbiran kes kebankrapan telah dijalankan selama lima tahun.

Bolehkah individu yang bankrap terus membayar hutang kepada bank bagi pinjaman-pinjaman lain?

Tidak boleh. Jika mereka berbuat demikian boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 115 (2) Akta Kebankrapan 1967.

Apakah penyebab kepada kebankrapan seseorang individu?

Sebab utama masalah ini adalah pinjaman rumah, kereta dan pinjaman peribadi dan kini pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertunggak sehingga lebih RM30,000. Dalam hal ini, individu dinasihatkan untuk berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan bagi mengelakkan diri daripada terjerumus dengan masalah ini.

Di Perak, berapakah purata kes kebankrapan yang direkodkan?

Kita ada dua cawangan Jabatan Insolvensi di Perak iaitu Ipoh dan Taiping. Di Ipoh sahaja, kita menerima 90 kes sebulan seperti ini.

Bagaimanakah cara untuk menyemak status kebankrapan?

Mereka boleh datang ke mana-mana cawangan Jabatan Insolvensi atau melayari laman web http://www.insolvensi.gov.my.

Orang ramai yang ingin mengetahui status atau maklumat lanjut tentang Jabatan Insolvensi boleh menjayakan Hari Bersama Jabatan Insolvensi yang akan diadakan pada 17 November 2016, bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang di pejabat Jabatan Insolvensi, Tingkat 2, Bangunan KWSP Ipoh.

ISMANIZA AHMAD
15 NOVEMBER 2016
Sinar Harian

Learn HTML, CSS and JavaScript to become a web or a front-end developer.