Petang tadi Ustaz Uda Kassim datang berceramah sempena Ramadhan di sekolah Tedi.

Ceramahnya adalah berkaitan dengan qanaah ataupun dalam Bahasa Melayu maksudnya kecukupan.

Tedi main catit sahaja apa yang Ustaz Uda Kassim sebut jadi maaflah jika kandungannya tunggang terbalik.

Lawan bagi miskin adalah mencukupi.
Miskin adalah musuh keimanan sebab itu tidak disebut miskin sebaliknya mencukupi.

Ada 2 jenis orang susah,
1. makin susah makin kufur
2. Makin susah makin beriman

Syaidina Ali - hampirlah kemiskinan itu menjadi punca kepada kufur.

Dan orang tua-tua pernah berkata bahawa kerana miskin tergadai agama. Jadi tidak hairanlah suatu ketika dahulu ada isu ibu tunggal yang miskin didapati berada di gereja kerana gereja membantu mereka dari segi kewangan.

Tapi bukan kerana miskin sahaja seseorang boleh jadi kufur, sebaliknya seorang yang miskin dan berasa tidak mencukupi yang mendorong kepada kekufuran.

Begitu juga si kaya yang tidak berasa berkecukupan, turut diheret ke lembah kekufuran.

Miskin dan kaya, kedua-duanya perlu kepada perasaan mencukupi. Redha dengan apa yang ada.

Contoh kaya dan berasa mencukupi, sahabat Rasulullah SAW bernama Abd Rahman bin Auf, seorang yang kaya tetapi kekayaannya tidak dapat pengaruhi dirinya. Hartanya bukan digunakan untuk bermewah-mewah di dunia, tapi didermakan di jalan Allah SWT.

Percaya tiada apa yang mampu dilakukan berlebihan daripada manusia lain walaupun kita kaya kerana manusia ada had, perlu bersederhana.

Contohnya jika kaya, saiz perut tetap sama, tidaklah boleh dia makan 10 kali ganda apa yang manusia lain makan. Boleh sahaja dia berlebihan tetapi nanti badannya juga yang menderita dek penyakit.

Orang kaya banyak ujiannya.. sayang kepada harta. Kaya itu satu ujian, miskin juga satu ujian. Dua-duanya untuk buktikan keimanan.

Nabi Muhammad SAW berdoa agar hidup Baginda dalam keadaan miskin, mati dalam keadaan miskin, dan dibangkitkan di akhirat sebagai orang miskin.

Puasa Ramadhan latih kita jadi orang yang berasa berkecukupan. Selalunya manusia makan 6 kali sehari tapi dalam bulan Ramadhan boleh pula makan hanya 2 kali sehari.

Sebaliknya di Malaysia orang lebih banyak berbelanja pada bulan Ramadhan kerana manusia sudah biasa bermewah.
Fitrah manusia suka kepada harta tapi perlu dijaga supaya tidak bakhil dan tidak pula boros.

Manusia yang kuat cinta dunia, sifat tamak dan bakhil dah mengganas, akan jadi lebih ganas daripada serigala kelaparan.

Syaitan itu menjanjikan kefakiran, menghasut supaya kejar dunia saja, dibisikkannya bahawa harta manusia tidak mencukupi dan perlu sentiasa ditambah.

Lentur nafsu supaya bersederhana.

Boleh diatasi dengan cinta kepada akhirat. Dalam hati tak boleh ada 2 cinta, siapa kehendaki dunia akan dapat dunia, dan siapa kehendaki akhirat akan dapat akhirat.

Dunia seperti bayang-bayang, tidak dapat kita kejar, semakin dikejar semakin ia jauh, tapi sebaliknya jika kita kejar akhirat, insya-Allah dunia akan kejar kita.

Sekian, Wallahu'alam.