Ini mungkin satu imbauan, buat diri Tedi sendiri, buat semua.

Ajal takkan alpa, menanti masa menjemput kita.

Kerana dia turuti perintah Tuhan-Nya, mentaati peraturan dan rencana-Nya.

Hari ini mungkin hari berduka, bersedih, bergundah-gulana buat dirinya.

Tatkala mendengar pemergian suami yang tersayang, sedangkan baru beberapa minit sahaja berpisah jalan.

Nun di sisi jalan sana, tatkala dilewatinya, ketika dalam destinasi ke tempat kerja.

Terlihat seorang lelaki menggelupur dikerumuni orang ramai, penangan kecelakaan jalanraya, ketika menunggang motosikalnya ke tempat kerja dengan niat menyara keluarga.

Dilihatnya namun tiada dia berhenti, kerana perlu hantar adiknya ke Terminal Bersepadu Selatan di tengah kota.

Namun sampai saja di sana, apabila diperiksa telefon pintarnya, berita sedih yang menanti.

Lelaki yang menggelupur tadi, yang dilewati tadi, adalah suaminya sendiri.

maut di mana-mana walau dalam keadaan apa pun kita, kemalangan motosikal

Jarang Tedi mencoret berkenaan mati. Jarang sekali.

Pernah sekali Tedi coretkan "Tiga pemergian yang tidak dijangka.", dan juga "Pergi Tak Kembali: Nyang Shahidan", kali ini Tedi coretkan hal yang agak sama.

Aduh, keinsafan ini mungkin hanya sementara, kesan noda titik-titik hitam parut-parut dosa.

Dua kejadian berbeza, dua kematian melibatkan penunggang motosikal.

Pada pagi hari, Mommy dan kawan-kawannya berbicara mengenai pemergian seorang pakcik, kemalangan motosikal ketika melalui MEX ke Cyberjaya. Pakcik itu merempuh bangkai sebuah kereta yang terbakar beberapa hari lalu, yang tersadai di tepi jalan.

Itu mungkin pengajaran yang mahal buat pengelola MEX. Pantas mengutip tol berjuta-juta, tapi bertangguh memastikan keselamatan para pengguna. Apakan daya, itu adalah ajal. Kita tak mampu salahkan sesiapa, tetapi wajib percaya semuanya qada dan qadar Allah subhanahu wa ta'ala.

Pakcik yang meninggal dunia itu adalah kawan kepada suami kawan sekerja mommy.

Dan tidak beberapa lama kemudian, Mommy mendapat berita, suami kawannya pula meninggal dunia kemalangan motosikal. Tidak tahu sama ada dilanggar atau melanggar, kerana saksi pun kurang jelas hakikat kejadian.

Kawan Mommy pula ironinya telah terlihat arwah suaminya itu sedang menggelupur di tepi jalan, tetapi dia tidak sedar itu suaminya. Aneh ketentuan Allah, diberi-Nya lihat pada saat nazak, tapi tidak secara sedar. Bayangkan jika makcik itu sedar itu suaminya? Kuatkah dia melihat (dan perasan) suaminya sedang menggelupur bertarung dengan ajal?

Arwah suaminya meninggal dunia ketika dalam ambulans, dan urusan untuk bawa balik jenazah selesai kira-kira jam 6 petang. Jenazah akan dibawa ke Rompin untuk dikebumikan.

Semoga roh mereka dirahmati dan diampuni Allah.

20160503