بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Sedih Tedi baca warkah kali ini, tentang seorang budak yang mungkin tidak mengerti apa-apa mahu membeli hadiah untuk kakaknya, dan seorang makcik yang mungkin mendapat pengajaran daripada pengalamannya bersama budak lelaki itu.

Daripada kisah ini Tedi dapat hayati konsep rezeki, di mana Allah akan berikan rezeki atau bantuan kepada seseorang melalui apa sahaja cara atau melalui siapa sahaja sama ada kita sedar atau tidak.

Lebih bahagia jika kita yang dipilih Allah untuk menjadi medium sampaikan rezeki kepada orang lain.

Jadi jangan kedekut kerana apa sahaja yang kita kongsi itu ternyata lebih terasa manisnya. Telah beberapa kali Tedi baca kisah ini dan Tedi tidak pernah bosan membacanya. Terima kasih kepada mereka yang berkongsi surat ini.

 

Bertemu seorang budak lelaki di pasaraya

gambar seekor beruang Teddy Bear sedang memegang sekuntum bunga ros

Aku sedang berjalan berhampiran sebuah pasaraya, apabila ku lihat seorang juruwang memulangkan sejumlah wang kepada seorang budak lelaki. Umurnya ku kira di sekitar 7 atau 8 tahun.

Juruwang itu berkata,

“Maafkan akak, tapi adik tak punyai cukup duit untuk membeli patung ini.”

Budak itu memandang kepada seorang wanita tua di sebelahnya dan berkata:

Nenek, adakah duit saya tidak mencukupi?

Wanita tua itu menjawab,

Cu, kamu tahu kan yang kamu tidak cukup wang untuk membelinya?

Wanita tua itu kemudian meminta budak lelaki itu tunggu di situ sementara dia pergi mencari patung mainan yang lebih murah.

Budak lelaki itu masih berdiri di situ, sambil memegang patung mainan yang dikehendakinya. Aku mendapatkannya dan bertanya kepada siapa ingin dibelikan patung tersebut.

 

Hadiah untuk kakak

Dia memberitahuku bahawa patung itu adalah hadiah paling diingini oleh kakaknya. Aku mencadangkan kepadanya kenapa tidak saja dia menunggu wangnya cukup sebelum membelikan hadiah tersebut?

Tidak boleh. Kakakku sudah pergi ke tempat yang jauh dan tiada siapa dapat menghantar hadiah tersebut. Bapaku berkata bahawa ibu pun akan mengikuti kakak tidak lama lagi, jadi saya mahu membelinya sebelum ibu pergi

Jawapan itu menyentak jantungku dan hampir membuatkanku menangis.

Saya merayu ibu agar jangan pergi, tapi ayah kata ibu perlu pergi untuk menemani kakak.

Budak itu memandang ke mataku dan menyambung,

Saya meminta ayah agar memberitahu ibu jangan pergi dahulu sehingga saya pulang dari kedai.

 

Aku diam. Ku capai beg duitku.

Apa kata kita kira duit yang kamu ada, mana tahu kalau-kalau ia mencukupi?

“Okay. Saya harap jumlahnya cukup”, sahut budak itu sambil tersenyum sedikit. Matanya sedikit bersinar, mungkin dia masih berharap duitnya mencukupi.

Aku mula menghitung wang yang dimiliki budak itu. Tanpa budak itu sedari, aku selitkan sedikit wang cukup untuk dia membeli patung tersebut berserta sedikit baki.

Duitmu cukup saja nak. Malahan ada berbaki lagi jika kamu perlukan sesuatu.

Budak itu tiba-tiba merintih, “Terima kasih Tuhan kerna cukupkan wang yang saya ada ini”.

Dia memandangku dan berkata, “Malam tadi saya berdoa agar Dia cukupkan wangku ini. Dia Maha Mendengar!”

Saya juga nak belikan bunga ros putih buat ibu, tapi saya tak sanggup memohon lebih lagi kepada-Nya, tapi ternyata Dia Maha Mengetahui. Duit ini cukup untuk saya belikan bunga ros putih yang ibu suka itu.

Aku hanya senyum dan meminta diri untuk beredar kerana aku tak sanggup mendengar kata-kata anak kecil itu lagi.

Aku asyik memikirkan tentang budak lelaki itu sepanjang memandu pulang, hingga aku teringat akan satu keratan berita dalam akhbar berkenaan sebuah kereta yang dirempuh oleh sebuah trak yang dipandu pemandu mabuk.

Mangsa kemalangan itu, seorang wanita, masih dalam keadaan kritikal di hospital, manakala anak perempuannya terus mati di tempat kejadian. Ibu muda itu bergantung kepada mesin sokongan hidup dan keluarganya perlu memutuskan sama ada mahu matikan mesin itu atau tidak, kerana ibu muda itu takkan pulih dari keadaan koma. Adakah dia ibu kepada budak lelaki itu?

Dua hari selepas bertemu budak lelaki itu, aku mengetahui daripada akhbar bahawa ibu muda itu telah mati. Aku mengambil keputusan untuk pergi menziarah.

Di sana ku lihat budak lelaki itu berteleku di sisi jenazah ibunya sambil memegang bunga ros putih, patung, dan gambar bersama ibunya.

Aku beredar dengan air mata yang bergenangan.

Ternyata kasih anak lelaki itu kepada ibu dan kakaknya amat teguh, dan dalam sekelip mata seorang pemandu mabuk telah merampasnya.

 

Komentar

Sejak kebelakangan ini kita dikejutkan dengan kemalangan yang diakibatkan oleh mereka yang mabuk. Pelik, adakah mabuk menjadikan mereka kebal? Tidak salah melanggar orang kerana mereka mabuk?

Tedi dikejutkan pula oleh para "pejuang" bergelar Patriot. Mengutuk tindakan DBKL melarang jualan alkohol. Kata mereka "rasuah lebih bahaya berbanding arak"!

Najis apakah mereka ini? Menolak larangan sesuatu kemungkaran atas alasan ada kemungkaran lebih hebat sedang berleluasa. Inilah masalahnya apabila agenda politik lebih diutamakan.

Ada pula yang mengutuk larangan jualan arak, katanya melanggar perlembagaan yang membenarkan kebebasan hak asasi manusia atau juga hak penganut agama lain selain Islam.

Tedi berasa janggal.. Ada mana-mana agama yang benarkan pengikutnya minum arak? Agama apakah itu? Cuba maklumkan Tedi kerana Tedi tidak pernah dengar perkara sebegitu.

Hak asasi? Adakah minum arak itu dikira hak asasi?

Tedi berasa janggal... apabila orang yang selalu mencabar perlembagaan, tiba-tiba sahaja merujuk kepada perlembagaan apabila arak dilarang jualannya.

 


~ 20160510 ~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih