Wow! Memang mengkagumkan!

Bank Sampah Mutiara di bandar Makassar di Indonesia memberikan pilihan kepada para pelanggan mereka untuk meminjam wang tunai dan membayarnya menggunakan sampah-sarap!

Nampak gila bukan? Tapi Tedi rasakan inilah kebijaksaan dalam sikap perikemanusiaan yang hebat.

Para penduduk di sana membawa sampah-sarap yang boleh dikitar semula seperti botol plastik dan kertas ke pusat pengumpulan yang dikenali sebagai bank sampah, di mana kesemuanya akan ditimbang sebelum dinilaikan dengan wang.

Manusia di sana juga boleh membuka akaun simpanan dan menyimpan jumlah tukaran itu ke dalam akaun simpanan mereka.

Daripada rakyat untuk rakyat

Pengurus Bank Sampah Mutiara, Suryana menyatakan bahawa idea itu datangnya daripada rakyat, diuruskan oleh rakyat, dan hasilnya adalah untuk rakyat.

Ideanya adalah untuk mengatasi masalah sampah-sarap menimbun, masalah kekurangan tanah untuk dijadikan tapak pembuangan sampah, masalah kekurangan teknologi pengurusan sampah, dan memberikan rakyat miskin peluang untuk mendapatkan wang daripada sampah-sarap tersebut.

Hal ini adalah sinonim dengan apa yang cikgu Master pernah katakan: "Sampah bagi kita mungkin adalah harta kepada orang lain."

Ini adalah kerana sampah bermaksud "sesuatu yang tidak diingini", jadi mungkin apa yang kita tidak ingin itu adalah menjadi keinginan kepada orang lain.

Makassar adalah bandar dengan kepadatan penduduk mencecah 2.5 juta orang dan menghasilkan 800 tan sampah sehari yang akan dicampakkan ke tapak pembuangan sampah sehingga mencecah ketinggian bangunan 5 tingkat dan keluasan 2 padang bola sepak. Kebiasaannya, kanak-kanak akan menggeledah timbunan sampah-sarap tersebut untuk mendapatkan makanan!

Situasi inilah yang akhirnya membawa kepada penubuhan bank sampah.

Pentadbiran bandar Makassar memberi komitmen untuk membeli sampah-sarap itu mengikut harga yang telah ditetapkan pihak bank sampah demi memastikan para penjual sampah menikmati kestabilan harga. Bank pula akan menjual sampah-sarap itu kepada para pembeli yang akan menjualnya kepada kilang-kilang pemprosesan sampah dan plastik di Pulau Jawa.

Selain wang ada bank yang tawarkan penukaran sampah-sarap kepada beras, kad tambah nilai telefon, atau pembayaran bil elektrik.

Kebanyakan peserta di Makassar adalah kaum wanita yang melakukannya secara sambilan, di mana mereka boleh memperolehi 2000 rupiah (RM 0.61) sehingga 3000 rupiah (RM 0.91) seminggu. Ramai di antara mereka turut meminjam duit, selalunya untuk membeli beras sebelum suami mereka mendapat gaji di hujung minggu.

Culas Bayar Hutang

pengurus bank sampah Mutiara di Makassar menyerahkan wang kepada pendeposit sampah di Bank Sampah Mutiara.

Suryana menyatakan bahawa setakat ini tiada peminjam yang enggan membayar hutang mereka. Mereka akan membayarnya selagi mereka masih hidup. Tambahan pula mereka hanya perlu membawa lebih banyak sampah yang boleh diperolehi di sekitar mereka.

Seorang pelanggan bernama Sitinah yang menjalankan perniagaan runcit kecil-kecilan berhampiran bank tersebut, ini adalah kali pertama mereka berurusan dengan institusi perbankan.

"Sebelum ini saya tiada wang, tetapi sekarang saya boleh mengeluarkannya daripada akaun apabila saya perlukannya."

Pentadbiran bandar Makassar menghantar trak-trak untuk mengutip sampah-sarap dari Bank Sampah Mutiara beberapa kali seminggu sebelum menghantarnya ke Bank Sampah Pusat di mana ia disusun untuk dijual.

Harga Stabil

Ary Budianto, salah seorang peniaga yang membeli beberapa tan sampah daripada Bank Sampah Pusat setiap bulan menyatakan bahawa idea ini adalah ringkas yang bagus.

"Dengan campur tangan pihak berkuasa para pengutip mendapat harga yang stabil, dan hasilnya mereka tidak menipu dan sampah yang dijual adalah berkualiti."

Indonesia menghasilkan 64 juta tan sampah setahun di mana 70 peratus dibuang di tempat pelupusan sampah terbuka.

Bank Sampah Mutiara adalah salah sebuah daripada 200 buah bank sampah di Makassar yang telah menjadi ikutan kepada bandar-bandar lain. Indonesia pada tahun lepas punyai 2800 bank sampah yang beroperasi di 129 buah bandar, dengan 175000 orang pemegang akaun.

Sokongan kerajaan untuk menjayakan bank sampah adalah amat diperlukan kerana ia memerlukan tanah dan infrastruktur.

Pihak berkuasa tempatan di Makassar disokong oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditaja oleh PT Unilever Indonesia.