Petanda Kucing Kesayangan Sedang Sakit

Kucing memberikan kita kasih-sayang tanpa minta apa-apa sebagai balasan. Sang Kucing menjadi ahli keluarga kita. Selain itu kajian saintifik juga menunjukkan bahawa kucing membantu kita jadi lebih tenang dan juga sihat.

Cuma menjadi satu masalah bagi kita untuk fahami bahasa kucing, jadi kita tak boleh nak faham jika Sang Kucing cuba menyatakan sesuatu kepada kita.

Lebih bermasalah apabila Sang Kucing sebenarnya ada masalah kesihatan,  bagaimana kita nak tahu mereka tak sihat?

Walaupun kita tak faham meow meow meow Sang Kucing, sebagai seorang atau seekor tuan kepada Sang Kucing, kita haruslah perhatikan bahasa badan mereka, kerana sesungguhnya mereka pasti menunjukkan sesuatu tanda melalui tingkah-laku mereka.

Manusia memang harus peka terhadap kucing mereka kerana kucing memang suka bersembunyi apabila sakit, menyebabkan ramai manusia susah mengesan masalah kesihatan Sang Kucing.

Berikut adalah petanda Sang Kucing sedang sakit:

Nafas berbau busuk

Bau nafas yang busuk mungkin menunjukkan bahawa Sang Kucing sedang mengalami gingivitis atau masalah gusi.

Jika nafas berbau hancing, ia mungkin petanda Sang Kucing ada masalah buah pinggang.

Perubahan corak tidur

kucing British Shorthair asyik tidur mungkin ada masalah jiwa atau sedang sakit

Apabila seekor kucing yang sebelum ni aktif tiba-tiba sahaja asyik nak tidur, mungkin ia sedang sakit.

Begitu juga sebaliknya apabila kucing yang sebelum ini tenang dan suka tidur, tiba-tiba sahaja jadi tak tentu arah mengiau dan merayau sekeliling rumah, bolehlah dibawa berjumpa doctor haiwan untuk pemeriksaan.

Perubahan sikap

Seekor kucing suka bersendiri apabila dia tak berapa gembira, begitu jugalah ketika dia sakit, Sang Kucing akan jadi anti-sosial.

Perubahan berat badan

Jika kucing hilang berat badan, ia mungkin ada penyakit tiroid ataupun barah

Jika kucing tiba-tiba bertambah berat badan atau perutnya tiba-tiba besar, dia mungkin ada beberapa penyakit. Tambahan pula, kegemukan boleh membawa kepada arthritis dan penyakit jantung.

Perubahan dalam perapian badan (bulu)

kucing yang tidak terurus mungkin ada masalah jangkitan pada kulit


Kucing yang ada masalah kulit selalunya akan mengabaikan perapian bulunya. Bulunya akan kelihatan kotor dan berminyak.

Kucing yang ada masalah kutu pula selalunya akan menyikat bulunya sehingga berguguran sehingga boleh membotakkan badannya sendiri.

Perubahan selera makan

Perubahan selera makan adalah salah satu tanda yang membimbangkan.

Ada beberapa penyakit yang akan sebabkan kucing mula terlebih makan, atau mula tak nak makan.

Maklumkan doctor haiwan dengan segera.

Kencing atau berak merata-rata

Perbuatan kencing dan berak merata-rata ini adalah sesuatu yang tidak digemari kaum kucing sendiri. Mereka selalunya akan cuba sembunyikan air kencing dan najis mereka kerana nak elakkan pemangsa.

Jika kucing mula berak dan kencing merata-rata, salur kencingnya mungkin tersekat atau ada jangkitan kuman.

Perubahan kegiatan

Jika seekor kucing yang dah berusia tiba-tiba menjadi aktif, dia mungkin menunjukkan gejala lebihan tiroid atau hyperthyroidism.

Jika seekor kucing yang periang tiba-tiba tidak mahu bermain dan bergerak, dia mungkin hidapi penyakit sendi (arthritis) atau isu-isu lain.

Perubahan nada suara

Perubahan suara kucing adalah petanda serius.

Apabila kucing yang vocal tiba-tiba sahaja diam, dan kucing yang pendiam tiba-tiba banyak cakap, kedua-duanya mungkin perlukan pemeriksaan doctor haiwan.

Menunjukkan Perlakuan tertekan

kucing dalam keadaan tertekan kerana perubahan persekitaran

Perubahan kepada persekitaran boleh mendatangkan tekanan kepada Sang Kucing. Contohnya dengan membawa masuk kucing lain, suasana bising akibat pengubahsuaian rumah, dam lain-lain, boleh menyebabkan kucing menunjukkan tingkahlaku tertekan seperti hilang selera makan, bersembunyi, dan paling teruk, kemurungan.

Jika berlaku sedemikian, terangkan suasana perubahan itu kepada doctor haiwan apabila bawa kucing bertemu mereka.

Ulasan

Trending