Tiada siapa yang berkeyakinan sejak lahir. Ia adalah mainan minda, membuatkannya menjadi satu kemahiran yang boleh diasah.

  • Tidak dapat dinafikan, Tedi bersetuju dengan kenyataan ini.
  • Salah satu cara mengasah keyakinan adalah melalui peperiksaan contohnya bagi pelajar sekolah, membiasakan diri mereka dalam tekanan agar dapat tempuhi peperiksaan sebenar dengan yakin.
  • Bagi bakal peguam pula mereka ada perbicaraan olok-olok untuk tingkatkan keyakinan, agar nanti mereka boleh berbahas dengan yakin.
  • Para tentera pula diasak dengan latihan keras dan perperangan simulasi, semoga jika mereka terpaksa berperang di kemudian hari, mereka boleh laksanakan dengan yakin.
  • Keyakinan diri hadir melalui pengalaman, dan jika tiada ruang untuk timba pengalaman, maka timba ilmu sebanyak mungkin, belajar daripada pengalaman orang lain.
  • Orang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, suka memuji orang dan tidak suka dipuji. Tetapi, mereka suka ditegur, mereka bersedia dan tidak takut, kerana mereka kenali kebolehan diri mereka.
  • Adalah penting untuk kenali diri kerana semakin lama kita belajar tentang diri sendiri, semakin tinggi kehebatan kita dan semakin mudah kita memperbaiki kelemahan.
  • Punya keyakinan diri pasti sangat menyenangkan, kerana dengan rasa yakin diri yang tinggi, kita akan berasa mampu untuk melakukan. Yakin boleh!
  • Rancangan rapi juga penting kerana dengan mempunyai pelan tindakan yang jitu, keyakinan diri akan menjadi lebih tinggi, kerana kita akan berasa bersedia.
  • Yakin diri juga boleh dikukuhkan dengan penampilan. Beli sahaja pakaian yang berkualiti contohnya untuk dipakai semasa temuduga, pasti kita akan lebih rasa hebat (jika tak rasa berlagak... hehe).
  • Berjalan dengan pantas, dan tegap - membantu bina keterampilan dan keyakinan.
  • Keyakinan diri amatlah penting dalam pembentukan peribadi seseorang insan, walaupun dia hanya seorang penjual sayur, mahu pun dia Perdana Menteri. Keyakinan diri pasti menambat insan lain untuk mengkaguminya.
  • Keyakinan diri mungkin mengambil masa yang panjang untuk dibina, tetapi boleh juga diasah dalam masa yang singkat.
  • Keyakinan diri boleh juga terhasil apabila kita berada dalam keadaan darurat, contohnya apabila ibu Sang Helang menolak anaknya ke dalam gaung supaya anaknya terpaksa melebarkan sayapnya.
  • Jadi, kadangkala kita perlukan inspirasi, sesuatu atau seseorang yang boleh menjadi sumber kekuatan dan keyakinan kita. Seorang ibu mungkin akan berkeyakinan tinggi apabila berjuang untuk kehidupan anaknya.
  • Kebolehan yang lain daripada sesiapa sahaja di sekitar kita akan turut membantu membina keyakinan diri, contohnya jika kita pandai berbual dalam banyak bahasa, sudah tentu kita akan berasa hebat dan lebih yakin kerana kita adalah makhluk istimewa (bukan makhluk asing ya...).
  • Yakin diri juga boleh terhasil dengan sikap positif dan optimis. Percaya dan yakin kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah amat mujarab. Sentiasa percaya bahawa tiada sebarang kebaikan dan keburukan akan kita tempuhi tanpa izin-Nya.
  • Bantulah makhluk Allah yang memerlukan, kerana ia juga membantu kita bina keyakinan.
  • Perasaan takut adalah perkara yang boleh membunuh keyakinan diri seseorang. Takut menimbulkan keraguan dan ketidakpercayaan.
  • Jika ada kelemahan, janganlah diberi tumpuan terhadapnya, tetapi boleh saja jadikan ia sebagai sumber kekuatan.
  • Fokus kepada kekuatan diri, jual ia sebaiknya.

20160427