Maafkan jika tulisan ini menyakitkan mata...

Tapi cikgu Tedi kata kalau mahukan mata yang cerah kenalah pandang benda yang hijau...
Semalam kami bergerak pulang dari Sungai Besar ke Sepang menggunakan jalan yang kami tak pernah lalui hasil panduan daripada aplikasi Waze.
Master sengaja menggunakan aplikasi tersebut semasa dalam perjalanan pulang manalah tahu jika ada jalan pintas atau ada apa-apa info penting yang boleh menyekat perjalanan kami.
Tetapi, semalam bukannya kami dibawa melalui jalan pintas, sebaliknya kami dibawa melalui jalan yang orang lain mungkin tak mahu lalu. Ironinya di sepanjang perjalanan ini kami dapat melihat sawah padi saujana mata memandang, beburung beterbangan di kawasan sawah, sungai yang luas dan panjang di tepi jalan, dan deretan anak muda bertenggek atas motosikal di tepi-tepi jalan.
Dalam masa 3 jam lebih kami sampai di rumah.

Siaran langsung Newcastle vs Sunderland di saluran HyppTV 708

Kami sampai lewat sedikit daripada jangkaan, sepatunya kami perlu duduk di depan TV pada jam 21:30 untuk Master saksikan perlawanan di antara Newcastle dan Sunderland, seteru utama di utara England.
Perlawanan semalam diperisakan lagi dengan sejarah permusuhan pengurus kedua-dua kelab, dan juga persaingan Newcastle dan musuh ketatnya untuk terus kekal di Liga Perdana England.
Siapa yang kalah dalam perlawanan semalam mungkin akan terhumban ke dasar liga dan seterusnya tersingkir daripada liga Perdana pada musim depan.

Serangan balas jarak jauh yang tidak menjadi.

Pada separuh masa pertama, The Magpies gunakan taktik kompak bertahan, dengan sekali-sekala melakukan serangan balas melalui hantaran jauh.
Tedi kenal benar taktik tersebut yang pernah digunakan Benitez pada zaman beliau mengurus Liverpool, masalahnya hantaran jauh pemain Newcastle seringkali tersangkut seolah-olah sengaja diberikan kepada pihak lawan.
Akhirnya Sunderland berjaya mendapatkan gol pertama hasil jaringan Jermaine Defoe, penyerang yang terkenal dengan rembatan deras dan tajam.

Kemasukan Siem de Jong menambah kreativiti.

Pada separuh masa kedua, Newcastle bermula masih dengan aksi yang teruk. Sehingga akhirnya Benitez membuat beberapa pertukaran, terutama memasukkan Siem de Jong, yang menambah gerakan di bahagian tengah.
Mulai detik itu de Jong, Wijnaldum dan Mitrovic mula mengancam kubu lawan, pertahanan Newcastle semakin tinggi ke atas, dan hantaran bola jauh semakin kurang.

Mitrovic menjadi wira Newcastle.

Saat yang ditunggu akhirnya tiba apabila perlawanan hampir tamat dalam masa 7 minit.
Wijnaldum berjaya menguasai bola di kawasan kanan Sunderland dan membuat lintangan cantik yang ditanduk dengan cantik pula oleh Mitrovic untuk menggegar gol Sunderland.
Jaringan itu diraikan seluruh peminat dan pemain seolah-olah kami telah menang liga!
Mitrovic meraikan golnya secara berlebihan dan tiba saat yang agak kelakar apabila seorang penonton masuk ke dalam padang untuk turut meraikan gol tersebut.

Doktor Catterson juga seorang wira.

Pada hujung permainan, Mitrovic dilanggar keras di udara, dan dia jatuh tidak sedarkan diri.
Suasana cemas seketika dan doktor segera menjalankan tugasnya memeriksa keadaan beliau.
Apabila Mitrovic sedarkan diri, dia berkeras mahu meneruskan permainan, manakala Doktor Catterson juga berkeras menghalangnya bermain.
Ketika Mitrovic cuba meyakinkan Benites bahawa dia masih boleh bermain, si doktor segera membisikkan sesuatu di telinga si pengurus, dan akhirnya pendapatnya diterima.
Newcastle terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas itu, tetapi tindakan si doktor itu dipuji oleh para peminat.

Newcastle masih terperosok di tangga ke-19 liga... adakah masih ada sinar?