Oleh Ferzalfie Fauzi (ferzalfie@hmetro.com.my)

Kuala Lumpur: Pemain yang dihantar ke kejohanan luar harus menghasilkan keputusan memberangsangkan bagi mengelak pembaziran dan pendekatan itu akan digunakan kelab badminton Nusa Mahsuri ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Jalani Sidek, pendekatan itu akan menjadi amalan ketika mengharungi kegawatan ekonomi dan badan induk itu juga mahu mengkaji semula sasaran yang diletakkan ke atas setiap pemain.

“Memang betul sekarang zaman kegawatan ekonomi dan sebagai kelab pasti sedikit sebanyak kami terjejas tetapi kita kena lihat kejohanan apa yang harus disertai pemain. Sebagai kelab luar kami mempunyai bajet tertentu,” katanya.

Beliau berkata, pemain tetap perlu beraksi di luar negara untuk pendedahan tetapi sebagai sebuah kelab profesional mereka harus bersedia dengan dana yang cukup.

Misbun Ramdan Misbun Sidek ketika beraksi di Terbuka Kuala Lumpur 2013 (KL Open 2013)

“Bagaimanapun, pemain yang berada di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga perlu tahu sama ada mereka mempunyai jaminan untuk berjaya atau tidak.

“Kalau mereka berada dalam badan induk tetapi tidak pergi ke mana, pemain itu sendiri harus tahu keupayaan mereka. Penaja pun boleh keluar (tarik diri) jika tidak berjaya. Bagi saya tidak salah seseorang pemain itu berada di dalam atau luar BAM,” katanya.

Jalani berkata, setakat ini mereka tidak mempunyai masalah untuk menghantar pemain beraksi di luar negara walaupun keadaan ekonomi tidak menentu dan beliau sentiasa berbincang dengan jurulatih Nusa Mahsuri Datuk Misbun Sidek.

“Pemain yang akan dihantar keluar perlu dipersiapkan. Jika tidak tiada guna beraksi di kejohanan antarabangsa. Sekarang kami cuba memperbaiki ranking Misbun Ramdan Misbun (gambar) yang menduduki tangga ke-477 dunia akibat kecederaan tumit kanan.

“Dia sudah 95 peratus bersedia untuk beraksi di kejohanan seterusnya, kami harus memastikan prestasinya pada tahap terbaik,” kata bekas pemain beregu kebangsaan itu.

Sebelum ini, Pengurus Besar BAM Kenny Goh menyatakan bahawa ketika ini bukan waktu terbaik buat pemain yang berada dalam badan induk itu untuk keluar menjadi pemain profesional berikutan masalah ekonomi yang tidak menentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:25 AM di hmetro.com.my