Penghujung bulan puasa 2013 ini disertai buka puasa bersama kawan-kawan Mommy.

Cerita ini berlaku pada Khamis lepas (1 Ogos 2013).

Kawan sepejabat Mommy ajak berbuka puasa. Pada mulanya Amarin Thai. Tedi taknak sebab dekat rumah pun ada almari. Lepas tu mereka pun tukarlah ke Restoran Suasana di Abdullah Hukum berhampiran Stesen LRT Abdullah Hukum, berhadapan Sungai Kelang dan Midvalley Megamall.



Hehehe, acah je. Sebenarnya Amarin Thai tu dah ditempah penuh, maka kami tak dapatlah nak berbuka puasa di sana.

Buka puasa di Suasana ni mestinya ala carte sebab takde pitis (duit / wang / ongkos / money). Murah je, RM 30 sekepala (murahlah sangat, hahaha). Mommy la tu tempah yang paling banyak lauk, bukannya habis pun. Ini kalau orang kafir yang kelaparan tengok ni, mesti mereka salah faham bulan puasa ni bulan berpesta makan.

Makanan di sana bolehlah dikira biasa-biasa je, kata Master. Tapi Tomyam dia boleh tahan juga la. Master yang hantu pedas tu tersedak sebab pedasnya bukan di lidah, tapi di tekak!

Nak sembahyang, ada surau berhampiran yang sungguh selesa. Surau kawasan perumahan. Sungguh dekat, lepas solat, boleh sambung makan semula.

Masalahnya cuma ruang meletak kereta yang amat terhad kerana di sana kawasan perumahan. Kalau kawasan perumahan dalam bandar Kuala Lumpur ni, jangan bayangkan rumah banglo atau teres, tapi faham-fahamlah itu kawasan rumah pangsa. Maka, Tedi galakkan kawan-kawan untuk berkongsi kenderaan ke sana.

Berbuka puasa di sana bukan kerana makanannya, namun kerana sesuai untuk berkumpul ramai-ramai. Nak makan sedap-sedap, tunggu raya la, kan? Tapi bolehlah cuba pergi sana selepas cuti raya ni, manalah tahu sesuai dengan selera kawan-kawan.

Abdullah Hukum pesat membangun.

Di sekitar Abdullah Hukum ni pembangunan rancak dijalankan. Faham-faham sahajalah kawasan terletak di Bangsar, lepas tu berhadapan pula dengan Midvalley Megamall dan juga The Gardens, lepas tu ada Sungai Kelang yang mengalir lesu (sebenarnya deras juga, tapi saja Tedi cakap Lesu sebab airnya keruh, seolah-olah sungai tu bersedih duduk kat KL).

Pembangunan rancak di sekitar Abdullah Hukum.

Kiri kanan, depan Abdullah Hukum ini bangunan-bangunan tinggi sedang dibangunkan. Tedi rasa kawasan rumah pangsa ni dah tak lama hayatnya. Tiba masa nanti mereka akan dipindahkan ke satu tempat yang lain. Pemaju mana yang bodoh nak biarkan river-side macam tu diduduki rakyat marhaen? Pada zaman sekarang, duit adalah raja, dengan duit mereka boleh beli apa mereka mahukan.

Tengok sahaja Bangsar South yang telah menelan Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi. Tempat itu disasarkan kepada profesional omputeh mahupun mana-mana foreigner yang bekerja di Malaysia. Nampak gayanya, siapa sahaja wakil rakyat di kawasan ini akan bertemu tugas getir jika mahu pertahankan rakyat Kebanyakan.

Atau mungkin saja Tedi yang terlalu prejudis.