Tedi berbicara mengenai nasyid "Nabi Anak Yatim":

 
  • Dinyanyikan oleh kumpulan nasyid (munsyid) Raihan disertai kumpulan nasyid NowSeeHeart.
  • Nasyid yang sungguh bagus yang menceritakan sebahagian sirah junjungan besar Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam.
  • Nasyid ini fokus kepada kehidupan Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam sebagai seorang anak yang yatim piatu, namun diceritakan secara umum.

 

...
Hutang gambar: Sebutir Kasih, Sejuta Sayang: Anak Yatim
...

Lirik & komen:

Muhammad, Muhammad, Muhammad Mustafa

Salah satu gelaran Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam ialah al-Mustafa

Ibunya bernama Aminah, ayahnya bernama Abdullah
Dilahirkan di Makkah al-Mukarramah, ibu susunya Halimatus Sa'adiah

Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam anak kepada Aminah binti Abdul Wahab & Abdullah bin Abdul Mutalib, orang baik-baik yang mengamalkan ajaran munif iaitu daripada Nabi Ibrahim alaihissalam.

Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam adalah cucu-cicit Nabi Ibrahim dan sepupu kepada Nabi Isa alaihissalam berdasarkan pangkat. Hal ini boleh diterjemah daripada ucapan mereka dalam kisah Isra' Mikraj.

Baginda sollallahu a'laihi wassalam disusukan oleh Halimatus Sa'adiah. Semasa air susu yang awal menitis ke mulut Baginda sollallahu a'laihi wassalam, ternakan Halimatu Sa'adiah yang kurus menjadi berisi & menghasilkan banyak susu, manakala susu Halimatus Sa'adiah yang kering menjadi banyak.

Halimatus Sa'adiah adalah daripada kabilah di desa, pergi ke Makkah mencari bayi untuk disusukan dengan harapan mendapat upah (kiranya kerja sampingan). Namun siapa nak bagi kalau dia pun macam tak cukup makan? Mestilah kita nak bayi kita disusukan oleh mereka yang sihat & banyak susu.

Halimatus Sa'adiah terlihat Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam & mengambil Baginda untuk disusukan tanpa sebarang upah. 

Alhamdulillah, subhanallah, masya-Allah, akhirnya dia beroleh keberkatan pada ternakannya,keberkatan pada susunya & yang paling penting Halimatus Sa'adiah adalah antara insan yang dikasihi Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam. Berkat Allah ke atasnya. Redha Allah ke atasnya. Al-fatihah buat ibu susu Baginda sollallahu a'laihi wassalam. Ada nasyid khas untuk beliau, insya-Allah Tedi huraikan di lain hari.

Ayahnya meninggal di Mina, ketika Nabi di dalam kandungan
Alangkah sedih pilunya, ibunya menjaga Baginda

Bapa Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam meninggal semasa meniaga di perantauan. Tak berapa ingat ketika itu bapa Baginda meniaga di Mina atau hanya singgah di sana dalam perjalanan pulang ke Makkah.

Muhammad Mustafa

Semasa di dalam perjalanan, pulang dari makam suaminya
Aminah jatuh sakit di Abwa, kembali ke alam baqa'

Kemudian ibu Baginda membawa Baginda menziarahi makam ayah Baginda, dalam perjalanan pulang ke Makkah, ibu Baginda pula sakit dan meninggal dalam perjalanan. Ibu Baginda dikebumikan di Abwa.

Tinggallah Nabi seorang diri, ditinggalkan insan yang dikasihi,
Tinggallah Nabi seorang diri, mengajarnya hidup berdikari,

Nabi sollallahu a'laihi wassalam dibela oleh datuknya, Abdul Mutallib, namun datuk Baginda juga meninggal dunia tak lama selepas itu.
Baginda kemudiannya dijaga oleh Abu Talib yang mempunyai ramai anak, maka Baginda sollallahu a'alaihi wassalam kena berdikari dengan bekerja menggembala kambing, sebelum menyertai rombongan meniaga.

Terpadam api biara Majusi, runtuhlah istana Kisra Parsi
Makkah diterangi cahaya putih, tanda lahir Nabi anak yatim

Di antara tanda kelahiran seorang nabi akhir zaman, iaitu Muhammad sollallahu a'laihi wassalam ialah terpadamnya api biara Majusi.

Pernah kawan2 terfikir apa anehnya api terpadam? Ia menjadi aneh kerana api biara ini sentiasa dijaga supaya tidak terpadam, boleh dikatakan menyala bertahun-tahun. Malu la kalau api yang disembah boleh padam, nampak sangat api tu tak berkuasa, sebab itulah ia dijaga bersungguh-sungguh, untuk jaga air muka pendeta mereka.

Di samping itu, istana Kisra Parsi pula runtuh.

Makkah pula diterangi cahaya putih terang-benderang. Susah nak cerita pasal cahaya putih terang-benderang ni, kalau kawan2 pernah tengok Discovery Channel mungkin boleh bayangkan macam mana rupanya.

Anak yatim anak yang mulia, dilindungi Allah setiap masa.

Rangkap ini menjelaskan bahawa Allah subhanahu wa ta'ala menjaga Baginda sebaiknya. Oleh itu kita kena juga jaga anak yatim sebagai menghormati Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam yang yatim piatu.

 

Sollallahu a'la Muhammad, Sollallahu a'laihi wassalam
Hidupnya yatim, yatim piatu
Tiada ayah, tiada ibu
Hidupnya yatim, yatim piatu,
Namun dia-lah manusia agung.


Karangan ini mula diterbitkan pada 20130617 adalah berkenaan lirik lagu Muhammad anak yatim iaitu kisah mengenai Rasulullah sollallahu alaihi wassalam pada zaman kecil Baginda kehilangan kedua-dua ibu bapa.