Kawan-kawan kenal tak siapa Hang Tuah dan Hang Jebat?
Kawan2 pernah dengar kisah mereka bertarung di antara sesama sendiri kerana perbezaan ideologi?
Tedi pun berbeza ideologi dengan Master mengenai Tuah dan Jebat.

Gambaran potret Hang Tuah
Persatuan sejarah terbit setem wajah Hang Tuah

Kenapa Hang Tuah berlawan dengan Hang Jebat?

"Master, kenapa Tuah berlawan dengan Jebat? Mereka kan kawan baik?"
"Kerana perbezaan ideologi", jawab Master dengan yakin.
"Siapa yang salah, Tuah atau Jebat?"
"Erm, mungkin kedua-dua mereka tak salah. Tedi rasa siapa salah?"
"Mestilah Jebat, kerana dia derhaka.", Tedi segera menjawab dengan bersemangat seolah-olah semangat Tuah meresap ke dalam diri.

 Resam dalam dunia ini, penderhaka akan dibenci, namanya akan dicaci, aibnya akan ditelanjangi, dan keluarganya mungkin dibuang negeri.

"Jebat seorang yang setia, sebab itu dia melawan.", balas Master pula.

Tedi termangu sebentar. Macam mana seorang yang setia boleh melawan? Melawan maksudnya derhaka, kan? Sungguh kontra kedua-dua makna kata.

"Jebat setianya kepada kawan. Dia membela kawannya yang dizalimi. Jebat setianya kepada kesultanan Melaka. Derhakanya kepada pemimpin yang merosakkan pemerintahan kesultanan Melaka.", Master segera menjelaskan kepada Tedi. Mungkin Master faham Tedi kehilangan kata dek keliru.
"Jadi, Tuah lah salah. Dia tak pertahankan sahabatnya?", Tedi tak puas hati.

 Masakan Jebat benar orangnya? Semua orang tahu dia penderhaka.

"Tuah mungkin tak salah. Kita tak tahu apa di fikirannya. Setianya juga kepada Kesultanan Melaka, mungkin baginya tiada Melaka tanpa Sultan. Setia kepada Melaka bermakna setia kepada Sultan."

Setia... cuma satu kata, namun maksudnya berbeza mengikut sesiapa yang mentakrifkannya. Setia kepada Sultan, setia kepada sahabat., adakah cara untuk menilai mana yang utama?

"Jadi, siapa yang salah?", Tedi berharap Maste ada jawapan untuk persoalan ini.
"Itulah Master kata, mungkin tiada siapa yang salah. Fahaman mereka berlainan. Seorang berkata Melaka akan hancur dengan pemimpin yang zalim, manakala seorang lagi berkata Melaka akan hancur apabila Sultannya tidak ditaati", jelas Master.

Bencilah Tedi, mana boleh dua2 betul. Tedi buat muka tak puas hati.

Master senyum dan kemudian menyambung, "Tedi nak tau jugak siapa yang salah?"

Tedi angguk.

"Sudah terang lagi bersuluh, yang salah adalah Sultan kerana mendengar hasutan, tapi yang benar-benar bersalah adalah para pembesar yang dengkikan Tuah dan sanggup memfitnahnya."

Tedi terduduk. Selama ini Tedi salahkan Jebat kerana derhaka, tak setia kepada Sultan. Tapi rupa-rupanya setia itu luas skopnya.

Gambar kulit buku bertajuk Laksamana Hang Tuah: Jangan Pertikai Kewujudannya oleh Mohd Jamil Mukmin.
Gambar kulit buku bertajuk Laksamana Hang Tuah: Jangan Pertikai Kewujudannya oleh Mohd Jamil Mukmin.

 

Jebat ternyata setia,
cuma setianya bukan sekadar kepada raja
tetapi kepada kawan-kawan dan rakyat jelata.
Tiada gunanya setia kepada raja derhaka,
Derhaka kepada amanah baginda untuk menjadi pemerintah adil.
Jebat sudah lama mengajar kita.

 

Tuah pula.
Setianya bukan tiada makna.
Setianya menjalankan amanat tugasnya.
Walaupun terpaksa menentang sahabat dari kecilnya.
Baginya semua orang tiada beza.
Musuh raja adalah musuh negara dan musuh dirinya.

 

Benarkah Hang Jebat menderhaka kepada Sultan Melaka?

"Tedi, benarkah Jebat derhaka kepada Sultan?", tiba-tiba Master menguji minda.
"Err, tak tau."
"Jika Jebat derhaka kepada Sultan, kenapa dia tak bunuh Sultan? Sebaliknya diamuknya pembesar-pembesar Melaka? Jebat bukan derhaka kepada Sultannya. Dia hanya menghukum mereka yang menghasut baginda."


Benar kata-kata Master itu. Bukan Sultan yang disasarkan Jebat. Ternyata Jebat dalam diam masih setia. Dia tidak menghukum payung kerajaan, cuma mencantas daging yang membusuk. Dia membuat onar di Istana Melaka namun tidak cederakan baginda.

Dalam diam Tedi akui, Tuah tak salah. Jebat tak salah.
Kedua-dua mereka setia orangnya.

Yang derhaka adalah para pembesar yang memfitnah Hang Tuah. Sanggup korbankan seorang yang berjasa kepada negara semata-mata untuk penuhi nafsu mereka. Mereka dengkikan nama dan pangkat yang ada pada Hang Tuah kerana Laksamana Melaka bukan hanya memimpin angkatan laut negara malahan menjadi duta kepada Kesultanan Melaka.

Tedi bangga dengan Tuah dan Jebat. Mereka adalah padanan sempurna.

Benarkah Sultan Melaka silap dalam menghukum Hang Tuah dan Hang Jebat?

Tiba-tiba Master sambung bicara, "Tedi, benarkah Sultan bersalah? atau sebenarnya Sultan juga berkomplot menghapuskan para pembesar pengkhianat negara?"


Ya tak ya. Banyak yang boleh dibincangkan:

  • Bendahara tak bunuh Hang Tuah. Adakah memang konspirasi dengan Sultan Melaka?
  • Hang Jebat pula "mati" di rumah Hang Tuah. Tiada siapa yang tahu, cuma Hang Tuah! Mungkinkah Hang Tuah sembunyikan Hang Jebat?
  • Sultan Melaka terpaksa hukum Hang Tuah kerana peraturan istana, walau sebesar mana jasa Hang Tuah kepada negara. Bagaimana mahu selamatkan Hang Tuah tanpa cabar kredibiliti Sultan Melaka?
  • Sultan Melaka tak boleh hukum semua pembesar sekaligus kerana akan menggoncang kestabilan Kesultanan Melaka (jika baginda sedia tahu pengkhianatan para pembesar).
  • Kenapa Hang Jebat tak bunuh Sultan Melaka? Hebat sangatkah pengawal diraja? Jika hebat, kenapa Istana Melaka dapat ditawan Hang Jebat?
  • Hang Tuah tak bunuh Hang Jebat betul2, sebaliknya Hang Jebat cuma "cedera" dan boleh mengamuk selama seminggu! Takkanlah Tuah sanggup tengok rakyat Melaka diamuk? Siapa yang Jebat amuk?
  • Siapa saksikan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat di dalam Istana Melaka?
  • Kenapa Hang Jebat tak mengamuk awal sebelum Hang Tuah "dihukum" bunuh? Adakah dia dah tahu Hang Tuah hanya akan disembunyikan?
  • Kawan2 Hang Jebat yang bertiga (Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu) tak mampu bunuh dia? Atau hanya lakonan semata-mata?

Fikir-fikirkan dan semoga semangat Hang Tuah dan Hang Jebat menyerap ke dalam diri kita.

Hang Jebat derhaka atau bukan? Mungkin hanya Allah S.W.T mampu menilainya.

*Tedi pernah baca Sejarah Melayu & Sulalatus Salatin, sebuah mencatatkan Hang Tuah lawan Hang Jebat, manakala sebuah lagi mencatatkan Hang Tuah lawan Hang Kasturi. Tedi lebih yakin kepada Hang Tuah lawan Hang Kasturi sebenarnya. Kena cari balik la kedua-dua buku tu, memang amat bagus untuk dibaca.

Bacaan lain berkaitan dengan Hang Tuah lima bersaudara & Kesultanan Melaka: