Oleh NAJIBAH HASSAN


ENAM tahun lalu, kelahiran Dolly kambing biri-biri betina yang berjaya diklonkan mendapat perhatian dunia kerana ia dianggap sebagai kejayaan pertama bidang teknologi sains pengklonan.

Kelahirannya yang hanya diumumkan setahun selepas dilahirkan telah mencetuskan kontroversi dan kebimbangan penduduk dunia yang membantah cubaan ke arah pengklonan manusia.

Selain Dolly, banyak lagi haiwan mamalia lain yang turut terlibat dalam percubaan pengklonan termasuk kambing, tikus, babi dan lembu.

Semuanya tidak membuahkan hasil kerana kebanyakan haiwan yang dihasilkan daripada teknologi ini mempunyai banyak implikasi besar seperti menghidap penyakit-penyakit tertentu dan kecacatan.

Bagaimanapun, kekurangan itu dianggap sebagai cabaran kepada para saintis untuk terus menghasilkan spesies haiwan menggunakan teknologi ini.

Rentetan daripada kelahiran Dolly, dunia teknologi pengklonan sekali lagi mencatatkan kejayaan apabila para saintis yang diketuai oleh Dr. Mark Westhusin dan pasukannya dari Universiti A & M Texas, Amerika Syarikat buat julung kalinya berjaya mengklonkan haiwan peliharaan manusia iaitu kucing.

Kolej Perubatan Veterinar di A & M Texas merupakan salah satu kolej veterinar terbesar di dunia yang terkemuka dalam aspek penjagaan haiwan dan penyelidikan.

Anak kucing betina yang berusia genap dua bulan dua hari yang dikenali sebagai Carbon Copy atau ringkasnya Cc adalah spesies mamalia keenam yang terhasil daripada teknik pemindahan nuklear yang digunakan untuk menghasilkan Dolly.

Jika dibandingkan dengan spesies haiwan-haiwan yang diklon sebelum ini, kadar kejayaan pengklonan kucing begitu rendah.

Cc, anak kucing spesies berbulu pendek, merupakan yang julung kalinya berjaya dihasilkan daripada 87 embrio kucing yang diklon dan diimplan ke rahim ibu tumpang.

Walaupun secara genetiknya Cc umpama kembar seiras dengan gen kucing yang diklonkan yang dikenali sebagai Rainbow, namun ia tidak memiliki banyak persamaan.

Paling ketara ialah corak pada bulunya.

Ini kerana, sebahagian daripada corak bulu kucing klon itu ditentukan oleh gen, manakala sebahagian lagi bergantung kepada persekitaran semasa ia membesar dalam rahim.

Apa pun, Cc yang comel kelihatan begitu bertenaga dan sihat ketika dilahirkan dengan memiliki warna bulu yang unik dan menarik.

Cc dilahirkan pada 22 Disember tahun lalu oleh ibu tumpang yang dikenali sebagai Allie, iaitu 66 hari selepas embrionya dipindahkan.

Anak kucing betina ini dihasilkan daripada DNA seekor kucing betina dewasa yang mempunyai corak bulu seperti cengkerang kura-kura yang kemudiannya disuntik ke dalam sel-sel telur yang telah dikorek di mana bahan nukleusnya telah dikeluarkan.

Telur tersebut menunjukkan tanda-tanda positif selepas mendapat rangsangan elektrik dan diimplan ke dalam ibu tumpangnya yang berbulu belang.

Eksperimen tersebut yang dilaporkan dalam jurnal Nature dibiayai oleh seorang pakar kewangan, John Sperlin, 81, yang akan mengenakan bayaran ke atas mana-mana pemilik haiwan pemeliharaan yang ingin mengklonkan haiwan peliharaan mereka.

Mungkin ramai beranggapan pengklonan kucing ini sebagai satu cara bagi pemilik kucing menggantikan kucing kesayangan mereka.

Namun, kelahiran Cc sebagai eksperimen juga mendapat perhatian kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan.

Pertubuhan Perlindungan Kucing United Kingdom menyatakan pengklonan bukanlah jawapan untuk menggantikan haiwan peliharaan yang hilang atau mati.

Malah, ketua eksekutifnya Derek Conway mengatakan pengklonan kucing mengganggu proses semula jadi dan menimbulkan persoalan serius sama ada haiwan peliharaan dapat digantikan dan hanya dijadikan sebagai satu perniagaan.

Pengklonan merupakan salah satu kaedah bantuan reproduksi yang tidak ada banyak bezanya dengan permanian beradas tiruan (artificial in semination) dan tabung uji (in vitro fertilization) di mana kedua-dua kaedah ini juga mengundang kontroversi pada peringkat awal ia diperkenalkan.

Khabarnya Dolly, spesies mamalia klon pertama di dunia yang dilahirkan di Edinburgh, Scotland, berkemungkinan terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman kesihatan.

Haiwan itu yang tercipta daripada sel-sel bebiri dewasa dikatakan menghidap artritis pada pinggul dan kaki kiri belakang di usia yang begitu muda.

Artritis merupakan sejenis radang sendi yang biasanya berlaku di kalangan mereka yang telah berusia.

Namun, para saintis yang terlibat dengan pengklonan menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa Dolly mungkin mengalami kecederaan pada kakinya akibat melompat pagar yang menyebabkan berlakunya radang.

Penciptaan Dolly selain menguji keberkesanan teknologi pengklonan, ia juga bertujuan untuk mendapatkan salinan haiwan yang serupa dengan haiwan yang sedia ada.

Selain itu ia mencipta genetik haiwan yang dimodifikasi di mana organ dalamannya dapat digunakan untuk dipindahkan kepada manusia yang menghidap penyakit-penyakit tertentu.

Menurut saintis yang terlibat dalam penghasilan Dolly, penyakit yang dihidapi Dolly merupakan sebahagian daripada implikasi proses pengklonan tersebut.

Secara umumnya, dalam keadaan normal seekor kambing biri-biri boleh hidup antara 10 hingga 16 tahun.

Namun, para penyelidik berpendapat Dolly berkemungkinan berdepan dengan masalah penuaan pramatang.

Dolly dicipta menggunakan DNA sel-sel dewasa yang diambil daripada buah dada seekor biri-biri betina yang berusia enam tahun.

Sehingga hari ini Dolly telah melahirkan enam ekor anak biri-biri dan tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan yang serius.

namun, para saintis memberi amaran tentang keghairahan pengklon untuk mengklon pelbagai haiwan termasuk manusia.

Menurut mereka, pengklonan mempunyai banyak kesan sampingan dan bahaya pada kesihatan individu yang diklonkan.

Selain obesiti, sistem pertahanan tubuh dan masalah kecacatan genetik yang membabitkan sebahagian besar haiwan yang diklon, jangka hayat mereka juga pendek.

Atas alasan tersebut, pengklonan ke atas manusia mendapat bantahan demi bantahan.

Para penyelidik Institut Ke-bangsaan Penyakit-penyakit Berjangkit di Jepun mendapati 10 daripada 12 ekor tikus yang diklonkan mati pada usia muda.

Anak-anak tikus ini mati ekoran mengalami pneumonia, kegagalan hati dan ketumbuhan.

Kejayaan dua orang saintis, Prof. Panayiotis Zavos dari Amerika Syarikat dan Prof. Severino Antinori dari Itali yang berjaya membantu seorang wanita berusia 62 tahun melahirkan anak mendorong kedua-duanya untuk menghasilkan klon manusia bagi membantu pasangan kurang subur mendapatkan anak.

Rancangan mereka telah mencetuskan provokasi kerana ia bertentangan dengan nilai-nilai moral kemanusiaan.

Justeru, persoalan yang timbul berikutan kejayaan pengklonan haiwan-haiwan ini ialah bolehkah pengklonan ke atas manusia di lakukan?

Meskipun, teknologi pengklonan berjaya menghasilkan Dolly dan Cc yang menjadi model kejayaan pengklonan, para saintis mempercayai bahawa teknologi yang ingin digunakan pada manusia masih belum berkembang sepenuhnya dan mekanismenya masih kabur.

Eksperimen yang dijalankan terhadap lima spesies mamalia sebelum ini mengukuhkan bukti bahawa pengklonan ke atas manusia belum tentu menjanjikan kejayaan.

Malah, hampir sebahagian besar kehamilan yang melibatkan teknologi ini menyebabkan kematian janin yang diklon dan kedua-dua nyawa ibu dan janin tersebut berdepan dengan pelbagai risiko.

Dalam kebanyakan kes, janin yang diklon membesar secara abnormal.

Keadaan ini boleh mengancam nyawa janin kerana rahim boleh terkoyak atau dipenuhi dengan cecair.

Kehamilan melalui teknologi ini juga boleh menyebabkan berlakunya keguguran secara spontan.

Pengklonan Dolly misalnya hanya berjaya dihasilkan selepas 247 kehamilan.

Eksperimen yang dijalankan terhadap mamalia yang lahir daripada teknologi ini menunjukkan haiwan klon menghadapi pelbagai ancaman kesihatan.

Ini termasuklah masalah kegagalan hati berfungsi, masalah jantung, pembuluh darah yang abnormal, paru-paru yang belum cukup matang, diabetes, masalah sistem pertahanan tubuh dan kecacatan genetik.

Meskipun teknologi ini masih dalam bidang kajian yang banyak pro dan kontranya, sebahagian besar para saintis dalam bidang ini menyifatkan pengklonan manusia adalah sesuatu yang berbahaya dan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Percubaan mengklonkan manusia sebenarnya tidak begitu menguntungkan.

Sebaliknya, ia menyebabkan keguguran yang lewat, kematian bayi dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung iaitu jika bayi tersebut hidup ia akan hidup sebagai individu kurang upaya sepanjang hayatnya.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm#ixzz46qwuE0VC
Utusan Melayu (M) Bhd
24 Feb 2002.,20020224